Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek Bukit Raka dimiliki k'jaan Pahang, kata kementerian perumahan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menafikan sedang membangunkan projek rumah mampu milik berhampiran Hutan Simpan Kuala Raka di Bentong, Pahang.

Sebaliknya, kementerian mendakwa kerajaan negeri Pahang memiliki projek pembangunan itu.

Ini berikutan penemuan papan kenyataan yang menyatakan bahawa kawasan seluas 31.556 hektar (kira-kira saiz 44 padang bola) sedang dibersihkan untuk projek perumahan mampu milik.

Menurut jawapan lisan bertarikh 2 Mac lalu, Kementerian Perumahan menyatakan projek pembangunan yang terletak berhampiran Bukit Raka itu bukan milik kementerian.

“Projek PR1MA yang terletak di Lot 4623, PA8569, Bentong, adalah projek di bawah kerajaan negeri Pahang.

“Oleh itu, kelulusan projek itu bukan di bawah seliaan PR1MA,” kata Kementerian Perumahan.

Ia menambah bahawa terdapat tiga projek PR1MA di Pahang secara keseluruhan, semuanya terletak di Kuantan dan tiada di Bentong.

Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bentong Wong Tack.

Ahli parlimen DAP itu menuntut Kementerian Perumahan menjelaskan butiran projek perumahan Bukit Raka bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Pada 19 Jan lalu, penduduk Taman Shahbandar Height menyatakan rasa curiga terhadap aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Kuala Raka.

Mereka mendakwa terdengar bunyi pokok ditebang di kawasan hutan simpan itu.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menyangkal dakwaan bahawa aktiviti pembalakan haram sedang berlaku.

Lawatan Malaysiakini pada 21 Jan menyaksikan pekerja pembalakan memandu jengkaut untuk membersihkan hutan, dan kayu balak kemudiannya diangkut dengan trak.

Papan kenyataan di tapak yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Bentong mengesahkan projek perumahan PR1MA akan dibina selepas aktiviti pembersihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS