Ibu tunggal, Loh Siew Hong masih menunggu untuk mengetahui status tiga anaknya dan maklum balas daripada Majlis Agama negeri Kedah dan Perlis untuk menunjukkan bukti bahawa tiga anaknya telah memeluk agama Islam.
Peguamnya, Shamsher Singh Thind berkata dua lagi majlis agama Islam iaitu Kedah dan Perlis yang masih belum membalas surat tuntutan daripada anak guamnya.
"Saya pada 16 Feb telah menghantar surat tuntutan kepada Pendaftar Mualaf negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Tugas pejabat mualaf ini adalah untuk mendaftarkan individu-individu yang memeluk agama Islam. Individu yang memeluk Islam akan diberikan sijil sebagai bukti.
"Pada 23 Feb, majlis agama Islam negeri Pulau Pinang membalas surat kami mengesahkan bahawa ketiga-tiga anak itu tidak memeluk Islam di Pulau Pinang. Kami masih menunggu maklum balas dari Kedah dan Perlis. Sekiranya benar tunjukkan buktinya.
"Saya akan berbincang dengan anak guam saya sekiranya tiada maklum balas daripada majlis agama Kedah dan Perlis," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Dia berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa tiga beradik berkenaan cuba dimurtadkan.
Sebelum ini, Loh memberitahu bahawa dia berhasrat untuk mencabar penukaran agama sepihak tiga anaknya menerusi semakan kehakiman.
Shamsher berkata jika pendaftar mualaf Kedah dan Perlis juga mengesahkan bahawa nama kanak-kanak itu tiada dalam senarai daftar mualaf mereka, maka tiada keperluan untuk anak guamnya memfailkan semakan kehakiman.
Shamser turut meminta pihak tertentu supaya menghentikan dakyah bahawa tiga beradik itu sedang cuba dimurtadkan.
"Isu pembatalan atau penukaran agama tidak relevan buat masa ini. Yang penting, adakah tiga anak benar memeluk Islam?
“Sehingga (soalan) itu (dijawab) adalah salah untuk mengatakan ada percubaan untuk memurtadkan tiga anak itu," katanya.