Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan provokasi terhadap Islam: Ramasamy beri keterangan

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai isu hak penjagaan tiga anak seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, baru-baru ini.

Adun Prai itu tiba pada jam 11 pagi tadi di Bukit Aman, Kuala Lumpur dengan diiringi peguamnya Shamsher Singh Thind.

"Saya hari ini dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung posting saya Faceook berhubung kes Loh yang didakwa sebagai berunsur provokasi. Saya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

"Saya secara asasnya dalam posting itu berkata bahawa jika anak-anak itu diculik kemudian polis perlu siasat. Bila saya kata culik bermaksud saya buat rujukan kepada suami Loh.

"Saya tidak membuat sebarang provokasi terhadap Islam, bangsa atau agama. Bagi saya, saya bantu hak Loh mendapatkan semula anaknya seperti termaktub dalam undang-undang. Dan mengikut undang-undang persekutuan kamu tidak boleh membuat pemelukan agama secara unilateral," katanya kepada pemberita.

Ramasamy sebelum itu merakamkan kenyataannya lebih kurang dua jam.

Pada 23 Feb lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, polis menerima laporan berkait hantaran Facebook Ramasamy bertajuk “Penukaran agama secara unilateral di Perlis? Perasaan situasi yang berulang lagi” bertarikh 13 Februari lalu.

Menurutnya, kenyataan itu dikatakan bersifat provokatif dan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh.

Sehingga 23 Feb lalu, sebanyak enam laporan polis dibuat ke atas Ramasamy.

Sementara itu, Ramasamy sekali lagi mengulangi kegesaan agar polis siasat Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berdasarkan dua laporan polis yang dibuat oleh pejabatnya.

"Saya gesa polis buat siasatan terhadap mufti Perlis. Dia adalah individu yang sengaja membuat provokasi dan membawa kepada perpecahan antara kaum di negara ini.

"Saya saya siasat atas laporan polis, kenapa dia tidak boleh? Dia mungkin punca segala isu yang berbangkit dalam kes ini," katanya.

Ramasamy disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berniat mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan ke atas golongan atau kaum lain.

Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Ramasamy juga disaisat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS