Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PN Larkin redah banjir lihat kerosakan kebun komuniti

Calon Perikatan Nasional (PN) untuk kawasan Larkin, Zulkifli Bujang, menunjukkan aksinya apabila hujan lebat berlangsung semalam menyebabkan taman awam setempat dibanjiri.

Tanpa mempedulikan keadaan itu Zulkifli mengharungi air separas lutut untuk meninjau kerosakan yang berlaku.

Kebun komuniti yang diuruskan Jawatankuasa Masjid ar-Rahman di Kampung Dato' Onn Jaafar, Larkin Jaya itu menyaksikan tanaman kontan dan anak pokok mereka musnah, manakala ikan dan udang dihanyutkan dari kolam.

Orang ramai yang tidak dapat menyelamatkan kebun di tepi masjid itu kerana air naik dengan cepat. Kata mereka pembinaan projek landasan berkembar dan elektrifikasi berhampiran Gemas-Johor Bahru sebagai punca masalah tersebut.

Ahli jawatankuasa masjid itu, Sallehudin Saidon, 60, berkata banjir kilat menjadi perkara biasa sejak kerja-kerja pembinaan dimulakan dua tahun lalu.

"Kali ini kami bernasib baik kerana air tidak sampai ke bahagian dalam masjid," kata Sallehudin.

Dia juga memberitahu penduduk setempat sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghentikan projek itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk yang kerap di Johor Bahru pada minggu lalu tetapi ribut petir semalam adalah yang paling teruk sejak kempen bermula secara rasmi untuk PRN ini.

Pembinaan rel berkembar bagi laluan Gemas-Johor Bahru melibatkan laluan sepanjang 192km dan terletak kira-kira 9km dari Taman Komuniti AgroTiong.

Harap tindakan segera

Sallehudin berkata, kebun komuniti itu dimulakan pada 2017 dan hasilnya dijual kepada masyarakat setempat.

“Di sini kita ada pokok pisang, pokok cili dan tanaman kontan lain,” katanya.

Dia turut kesal apabila perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan banjir kilat itu sebelum ini ternyata gagal membuahkan hasil seperti yang diinginkan.

Air banjir sebelum ini juga menyebabkan kerosakan masjid dan Sallehudin berkata kerja-kerja pembaikan yang dilakukan setakat ini menelan kos hampir RM100,000.

Sebahagian daripada kos itu, katanya, ditampung melalui sumbangan veteran Umno, Shahrir Samad, yang juga jemaah tetap di masjid tersebut.

Menjelang senja, beberapa lelaki kelihatan membersihkan pintu masuk masjid dan mengemop lumpur pada lantai berjubin putihnya sehinggalah azan berkumandang dari pembesar suara.

Zulkifli yang tiba kira-kira jam 6.30 petang memberitahu wartawan, dia dimaklumkan projek yang sedang dijalankan itu menjadi punca masalah banjir kilat tersebut.

“Mereka memberitahu saya ini masalah yang berulang-ulang sejak 2019 jadi saya harap ada tindakan segera akan diambil bagi mengelak ia berlaku lagi,” katanya.

Di Larkin Zulkifli akan berdepan dengan saingan daripada calon BN, Hairi Md Shah; Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Muda) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS