Paling Popular
Terkini

PRN JOHOR | Tidak ada perbincangan mengenai siapa calon menteri besar daripada Pakatan Harapan (PH) jika gabungan parti itu memiliki majoriti dewan undangan negeri pada 12 Mac ini.

Hal itu kerana, kata Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, isu berkenaan bukan keutamaan pada waktu ini justeru ia tidak dibincangkan dalam kalangan pemimpin PH.

“Bukan saya nak selindung, memang tak ada.

"Itu bukan perkara utama sebab apa yang pentin bagi kami ialah untuk menyampaikan hasrat rakyat dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita selepas ceramah kelompok di bilik gerakan utama DUN Bukit Gambir di Pekan Bukit Gambir, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, kenyataan Syed Ibrahim itu dilihat tidak selari dengan apa yang dikatakan Anwar petang semalam bahawa mesyuarat awal berkenaan calon menteri besar Johor sudah ada.

Namun, Anwar ketika ditemui pemberita di Segamat berkata gabungan berkenaan akan mengumumkan calon menteri besar hanya selepas mereka memenangi PRN Johor.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata PKR tidak akan menggunakan strategi sama seperti dalam PRN Melaka berhubung soal calon menteri besar di Johor.

"Sebab itu di Johor ini fokus utama ialah kegagalan kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

“Setahu saya strategi kami ialah untuk menang, bukannya kedepankan seorang calon MB... bukan itu,” katanya.

Tambah ahli parlimen Ledang itu lagi, isu pokok yang diketengahkan - selain kegagalan kerajaan BN-PN membela nasib rakyat sebelum ini - ialah mengawal harga barang dan meringankan beban hidup.

“Ini yang rakyat nak tapi (mereka) sibuk nak jadi menteri besar dan parti, malah nak rebut kerusi nak jadi menteri besar dan exco.

"Ini masalah besarnya, jadi kita kena balik ke pangkal jalan dan belajar tentang ini dan fokus kepada rakyat," katanya.

Menurut Syed Ibrahim lagi apabila sampai masanya isu berkenaan boleh dibincangkan.

Buat masa ini katanya perbincangan mengenai calon menteri besar hanya akan memesongkan PH daripada agenda sebenar.

Dia juga berkata dakwaan calon PH untuk DUN Layang-layang, Maszlee Malik, akan dipilih sebagai menteri besar jika PH menang hanyalah spekulasi media massa.

"Saya pun tak keluarkan apa-apa kenyataan dan bagi saya itu adalah sebagai anggapan daripada pihak media.

"Itu mungkin perkiraan dan perbincangan yang berlaku. Kalau ditanya rakyat di bawah ia tak dibincangkan pun," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS