Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
21 kompaun langgar SOP dikeluarkan sejak kempen PRN Johor bermula

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan 21 kompaun sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula Sabtu lepas, kata Pengarahnya Dr Aman Rabu.

Beliau berkata setakat 2 petang hari ini, kompaun yang dikeluarkan ke atas individu dan penganjur program yang termasuk dalam kempen PRN Johor itu disebabkan kesalahan umum tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Saya menasihati agar semuanya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Dr Aman berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan JKNJ melibatkan kompaun yang dikeluarkan sepanjang kempen PRN tersebut.

Pada 14 Feb lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengarahkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Bendahari Agung Hishammuddin Hussein, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC S. A Vigneswaran.

Selain itu, penganjur program tinjaun mesra Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak di Parlimen Pulai, Ahad lepas, turut dikompaun.

Sehari sebelum itu, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Azrol Ab Rahani yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikompaun RM1,000 kerana gagal membuat penjarakan fizikal iaitu melakukan laga penumbuk di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai.

Terbaharu, tiga kompaun bernilai RM3,000 dikenakan terhadap penganjur ceramah mega pertama anjuran Pakatan Harapan, malam semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS