Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWSP isytihar 6.1 peratus dividen
Diterbitkan:  Mar 2, 2022 3:16 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan 6.10 peratus dividen untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2021

Dividen yang diisytiharkan adalah tinggi daripada 5.45 peratus untuk simpanan konvensional yang diisytiharkan pada 2019 sebelum wabak Covid-19. Dana itu juga mengatasi prestasi KLCI yang menguncup 3.7 peratus pada 2021.

Jumlah pengagihan mencapai paras tertinggi baru dengan sebanyak RM57.1 bilion. Rekod sebelum ini adalah sebanyak RM48.13 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Nilai aset KWSP mencecah RM1.008 trilion pada 2021, meningkat 0.8 peratus daripada tempoh sebelum ini.

Menurut KWSP, pertumbuhannya yang perlahan adalah disebabkan pengeluaran bantuan berkaitan Covid-19.

Sehingga Oktober tahun lalu, KWSP berkata kira-kira 7.4 juta ahli telah mengeluarkan RM101 bilion untuk bantuan Covid-19.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan sebagai berkata, dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

“Pengeluaran berkaitan pandemik sebanyak RM101 billon sejak tahun 2020 telah menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai amaun kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Kami berharap dividen ini dan prestasi kukuh berterusan kami akan membantu kami memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahli-ahli kami, seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kebimbangan utama terhadap pengeluaran itu adalah impaknya kepada kecukupan persaraan ahli.

Bagaimanapun, katanya, meskipun cabaran menguruskan kecairan dalam menghadapi aliran keluar simpanan ini, KWSP mempunyai keupayaan untuk bertindak balas pantas dengan impak yang minimum kepada pasaran kewangan.

Bagi 2021, Amir Hamzah berkata KWSP telah mengimbangi semula dan menguruskan portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh asasnya pada harga menarik serta memanfaatkan pelaburannya di luar negara yang menyumbang 56 peratus kepada keseluruhan pulangannya.

Setakat 31 Dis, 2021, beliau berkata KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, dipacu daripada pemulihan pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah lantunan semula ekonomi global.

“Bagi 2021,KWSP merekodkan caruman bersih yang negatif buat pertama kalinya (caruman selepas pengeluaran) dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, tetapi masih kekal berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya di samping menyesuaikan diri dengan cabaran untuk memastikan pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang.

“KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, dengan RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah,” katanya.

Amir Hamzah berkata prestasi itu disumbang daripada usaha pendekatan kepelbagaian KWSP mengikut panduan daripada Peruntukan Aset Strategik (SAA), yang menjadikan dana pencen itu mampu bertahan daripada kejutan kewangan dan terus stabil dalam situasi yang belum pernah berlaku.

“Mengikut kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap membentuk 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti terdiri daripada 44 peratus. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 6.0 dan 5.0 peratus daripada aset KWSP,” katanya.

Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan juga Simpanan Shariah dijangka selesai pada 6 Mac, 2022 dan ahli-ahli boleh memeriksa akaun mereka menerusi i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada kioks KWSP di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS