Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin gambarkan PN sebagai pilihan 'bersih'
Diterbitkan:  Mar 2, 2022 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menggambarkan gabungannya sebagai pilihan "bersih" ketika melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara pertama daripada lapan teras dalam manifesto itu ialah antirasuah dan integriti.

Muhyiddin berikrar bahawa sekiranya menang, kerajaan PN di Johor akan bertindak menolak rasuah dan salah guna kuasa serta akan dibina di atas moral, etika dan integriti.

Antara lain, Muhyiddin berjanji kerajaan PN akan melantik ahli pembangkang untuk menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) peringkat negeri Johor.

Tambahnya, semua Adun juga dikehendaki membentangkan laporan perbelanjaan peruntukan mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan dipaparkan kepada umum.

"Saya menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan prihatin rakyat," katanya di majlis dihadiri lebih 100 pemimpin parti dan penyokongnya di Johor Bahru, hari ini.

Perkara lain dalam manifesto itu turut meliputi ekonomi, kos sara hidup, kebajikan rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, pelancongan dan alam sekitar.

Manifesto itu juga memberi penekanan khusus kepada Felda, yang mempunyai penempatan kedua terbesar di negara ini.

Muhyiddin sekali lagi menyorot pemansuhan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda semasa dia menjadi perdana menteri selama 18 bulan.

"Kita telah berjaya melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh BN selama berpuluh tahun mereka memerintah.

"Untuk rekod, BN tambah hutang Felda, PN hapus hutang peneroka Felda," katanya.

Dia berikrar untuk meningkatkan penglibatan peneroka Felda dalam ekonomi dan memastikan keperluan perumahan mereka, serta mengehadkan premium tanah mereka kepada RM1 sekaki persegi.

Manifesto itu turut menawarkan pelbagai bantuan kebajikan, termasuk 20 meter padu air percuma untuk isi rumah berpendapatan rendah, sama seperti dasar di Selangor serta pengecualian bayaran lesen lima tahun untuk peniaga kecil dan bantuan khas kepada nelayan yang terjejas akibat penambakan laut.

Ini adalah tambahan kepada kad perubatan untuk keluarga berpendapatan rendah untuk menerima rawatan di klinik swasta, juga sama seperti dasar di Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata kerajaan PN juga akan menyediakan komputer riba dan bantuan tunai untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang memasuki universiti.

Presiden Bersatu itu juga berjanji akan menekan kerajaan persekutuan pimpinan Umno untuk membuka semula sepenuhnya sempadan negara dengan Singapura kerana ekonomi Johor terjalin dengan negara pulau itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, pelaksanaan manifesto itu akan diselia oleh jawatankuasa pelaksana yang merangkumi golongan profesional.

"Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan prihatin rakyat,” katanya.

Semalam, BN melancarkan manifesto dikenali sebagai 'Ikthiar BN Johor'

Kempen PRN Johor bermula pada 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan pada 12 Mac ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS