Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salahuddin: PH sedaya upaya ketepi perbezaan politik, tapi...

PRN JOHOR | Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH telah sedaya upaya memberikan fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat seperti mana yang dititah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, kata Salahuddin, malangnya usaha tersebut seakan dimusnahkan dengan adanya PRN Johor.

“PH telah membuktikan kita berupaya mengenepikan perbezaan antara kita untuk menyahut seruan supaya negara dan rakyat diutamaka,n di kala negara masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Kita telah menandatangani (MOU) dan terdapat perkembangan yang sangat saya rasakan penting untuk manfaat rakyat dan negara.

“Antaranya peruntukan Covid-19 yang kita pohon, penumpuan kepada pemulihan ekonomi negara, dapat meminda Perlembagan Persekutuan, isu Sabah dan Sarawak dan juga yang terkini insya-Allah pada sidang Dewan Rakyat kali ini akta antilompat parti akan dibawa.

“Ini adalah komitmen yang ditunjukkan oleh PH, tetapi malangnya ia seakan-akan dimusnahkan PRN Johor yang sedang kita hadapi,” katanya kepada pemberita di Simpang Jeram, hari ini.

Salahuddin merujuk kepada memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan PH pada tahun lalu.

Menerusi MOU itu, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu. Sebagai balasannya, PH berjanji untuk tidak menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail atau menyekat Belanjawan 2022.

Semalam, Sultan Abdullah bertitah agar ahli politik di negara ini perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat, menerusi dua rangkap pantun pada akhir titah semasa merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga calon DUN Simpang Jeram berkata peringatan Sultan Abdullah itu menunjukkan tuanku sedar bahawa bukan PH yang sebenarnya bermain politik.

“Namun, pemimpin-pemimpin parti politik yang ada dalam kerajaan inilah yang bermain politik sehingga rakyat terpaksa dibebankan dengan PRN Johor ini,” katanya lagi.

'Jangan sampai cari salah'

Sementara itu, mengulas calon PRN Johor dikenakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), Salahuddin berkata dia setuju semua pihak harus mematuhinya, tetapi jangan sampai ada pihak mengambil kesempatan dengan sengaja mencari kesalahan.

“Saya rasa patuh kepada SOP itu satu keperluan. Tetapi janganlah mengambil kesempatan dan mencari salah.

“Tugas Kementerian Kesihatan untuk memantau dan memberikan penilaian yang adil kepada semua calon dan petugas-petugas pilihan raya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS