Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis belum selesai siasat suami Zeti sebab sempadan Singapura masih tutup'

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata, polis pada masa ini tidak dapat melengkapkan siasatan terhadap Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB.

Dia berkata ini Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut di Singapura, tetapi sempadan antara dua negara kini masih ditutup.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada AGC pada 14 Oktober 2021 dan 7 Disember 2021. 

“Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada polis pada 21 Disember 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.

“Memandangkan Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini, maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara”, kata Mas Ermieyati.

Dia berkata demikian ketika mesyuarat kamar khas mengenai usul Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membincangkan perkara yang didedahkan oleh bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner, terutama berkenaan BNM.

Katanya lagi, SPRM pada masa ini sedang menumpukan usaha mendapatkan semula aset dari negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, melibatkan individu yang berkaitan dengan 1MDB.

Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah di Amerika Syarikat, menyebut tentang rasuah melibatkan Tawfiq.

Namun dia tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada rasuah itu memang diberikan atau tidak.

Tawfiq kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata dia tidak kenal Leissner dan Roger Ng, seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs.

Polis sebelum ini berkata siasatan akan dijalankan terhadap Tawfiq atas dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB menerusi akaun di sebuah bank di Singapura, yang didaftarkan dengan namanya.

Polis berkata siasatan dijalankan menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS