Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yeoh: Saya pernah tersilap tentang Muda
Diterbitkan:  Mar 1, 2022 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, semasa berkempen di Johor, menceritakan bagaimana dia pada mulanya menentang pembentukan parti Muda yang diterajui golongan belia.

Yeoh berkata dia mempunyai "percanggahan pendapat yang besar" dengan Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin apabila mengetahui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman merancang untuk membentuk Muda. Bakri dan Muar adalah kawasan parlimen yang bersebelahan di Johor.

"Bee Yin memberitahu saya bahawa Syed Saddiq akan membentuk Muda. Saya tidak sependapat dengan Bee Yin. Dalam setiap parti politik, ada sayap pemuda. Kenapa kita perlukan Muda?" katanya semasa ceramah.

Yeoh, yang berkempen untuk calon Muda Lim Wei Jiet di Tenang, Johor, malam Ahad lalu, berkata beberapa bulan kemudian, selepas melihat individu di belakang Muda semasa sekatan pergerakan Covid-19 dan banjir besar akhir tahun lalu, dia berubah fikiran.

“Apabila saya melihat Muda Segambut Muda di lapangan, saya terkejut. Saya melihat muka muda, mereka yang sebelum ini tidak aktif dalam politik tetapi tiba-tiba mereka bersemangat untuk melakukan sesuatu untuk negara.

"Mereka di luar sana berkata 'apa yang boleh saya buat, boleh saya bersihkan rumah, boleh saya sapu lantai, boleh bagi saya pek makanan?'.

"Apabila saya melihat perkara seperti itu, saya tahu apa yang saya fikirkan tentang Muda adalah salah dan saya meminta maaf kepada Bee Yin. Saya memberitahu Bee Yin saya salah.

"Kerana saya melihat dengan mata kepala saya sendiri Muda adalah melangkaui Syed Saddiq dan terdapat ramai anak muda yang benar-benar prihatin terhadap negara," katanya.

Walaupun Yeoh dan Yeo daripada DAP, sementara Muda bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), ahli parlimen Segambut itu berkata politik bukan bidang eksklusif dan generasi sekarang tidak boleh menghalang generasi akan datang daripada membina Malaysia yang lebih baik.

“Saya memberitahu Bee Yin bahawa mungkin jika kita tidak boleh melakukannya, mengapa kita tidak membenarkan orang lain melakukannya.

"Politik bukan bidang eksklusif, ia bukan hak kelahiran yang hanya saya boleh lakukan dan tidak ada orang lain yang boleh. Jika generasi saya tidak boleh (membawa kepada membuat perubahan), maka generasi akan datang mesti mampu memberikan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Kita perlu mula melihat perkara di luar zon selesa kita, di luar parti kita, di luar generasi kita," katanya.

Yeoh, 43, berkata, dia juga pernah menceburi bidang politik pada usia 29 tahun ketika bertanding di DUN Subang Jaya.

Dia kemudian berkongsi bagaimana seorang aktivis Muda berusia 21 tahun bernama Faris yang membantu kempen Johor telah mendekatinya dan berkata dia pernah menghadiri ceramahnya ketika dia masih muda.

"Dia berkata dia berada di ceramah saya 14 tahun lalu. Saya berkata 'berapa umur awak semasa berada di ceramah saya?'," tanya Yeo, yang mana aktivis itu menjawab: "Darjah 1, 7 tahun".

“14 tahun lalu, budak Darjah 1 ini datang ke ceramah saya, dia mendengar semua yang kami katakan - mengapa kami menyertai politik, mengapa kami memerangi rasuah.

"Selepas tiga pilihan raya umum kemudian, hari ini dia di sini. Dia menghadiri ceramah DAP dan hari ini dia di sini memakai baju-T Muda pada usia 21 tahun.

"Inilah sebabnya kita buat apa yang kita buat ketika ini - memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk meneruskan kerja, untuk membawanya ke hadapan dan berlari.

"Jika saya tidak boleh melakukannya, maka saya harap Faris boleh melakukannya. Jika saya tidak boleh melakukannya menggunakan platform saya, menggunakan gabungan saya, saya berharap Faris dengan logonya akan dapat melakukan perkara yang sama untuk Malaysia yang berbilang kaum," kata Yeoh.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula Sabtu lalu (26 Feb). Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS