Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan berkaitan 1MDB: SPRM tak siasat suami Zeti, kata Azam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat Tawfiq Ayman, iaitu suami kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, berkenaan dakwaan kaitan dengan skandal 1MDB.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata, ini kerana suruhanjaya hanya diberi tanggungjawab mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.

Azam bagaimanapun mengambil maklum yang Tawfiq dalam siasatan polis.

“Dalam siasatan melibatkan kes 1MDB ini, pasukan petugas antaranya melibatkan polis dan SPRM (telah diwujudkan). Untuk Tawfiq, tugas yang diberi kepada SPRM adalah untuk mendapatkan semula wang (1MDB) dari Singapura.

“Polis (yang) jalankan siasatan (terhadap Tawfiq). Saya rasa kertas siasatan mereka masih dibuat (dalam proses), polis akan kemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) apabila ia siap,” katanya.

Pada November tahun lalu, SPRM memaklumkan Singapura telah memulangkan kepada Malaysia AS15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan sebuah syarikat yang turut dimiliki secara bersama oleh Tawfiq.

Zeti dan suaminya sekali lagi menjadi perhatian apabila bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah di Amerika Syarikat, menyebut tentang rasuah melibatkan Tawfiq.

Namun dia tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada rasuah itu memang diberikan atau tidak.

Tawfiq kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata dia tidak kenal Leissner dan Roger Ng, seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs.

Leissner merupakan saksi utama dalam perbicaraan berkaitan 1MDB melibatkan Ng.

Kes Azam

Dalam perkembangan lain, Azam enggan mengulas daparan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang membersihkannya daripada sebarang kesalahan berhubung pemilikan saham, dan mendapati Azam mengawal akaun jual belinya sendiri.

Azam berkata dia telah memberi penjelasan yang cukup dan isu itu telah berakhir.

“Saya tak ingin ulas lagi kerana bagi saya (kes) ini telah selesai,” katanya ketika ditanya berkenaan dapatan SC, yang bertentangan dengan penjelasan Azam sendiri bahawa akaunya digunakan oleh adiknya untuk membeli saham.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS