Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low kata duit bon ketiga 1MDB untuk danai PRU13 - Leissner

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberi keterangan bahawa dia dan rakan sekerjanya ketika itu Roger Ng tidak menerima sogokan daripada bon ketiga yang mereka kumpulkan untuk 1MDB, bernilai AS$3 bilion, walaupun telah meraih berjuta-juta sogokan daripada dua bon yang diperoleh sebelum ini.

Leissner berkata Low Taek Jho, dikenali sebagai Jho Low, telah memaklumkan kepadanya bahawa wang daripada bon ketiga - dirujuk sebagai Project Catalyze - akan digunakan untuk pilihan raya umum ketika itu pada 2013.

Dia mendedahkan perkara ini semasa memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan terhadap Ng pada 24 Feb 2022, di New York. Ng telah didakwa melanggar undang-undang antirasuah AS dan pengubahan wang haram.

Malaysiakini telah melihat transkrip mahkamah daripada keterangannya pada 24 Feb.

Pendakwa Drew Rolle: Adakah anda mempunyai pemahaman mengapa untuk perjanjian ini anda tidak akan dibayar untuk Catalyze?

Leissner: Dia (Low) berkata kepada Roger dan saya bahawa ada pilihan raya di Malaysia akan datang dan semua wang yang datang daripada Project Catalyze perlu digunakan untuk pilihan raya itu, untuk tujuan pilihan raya. Dan tiada ruang, tiada ruang, untuk mendapat sogokan. Ini kerana perlu membayar, perlu membiayai pilihan raya itu daripada Project Catalyze.

Leissner berkata dia difahamkan menjadi "amalan biasa" untuk memberikan "sumbangan" kepada pengundi.

"Jadi, membeli pilihan raya dalam konteks ini bermakna kepada saya bahawa sebahagian daripada wang yang dikumpul oleh Project Catalyze akan digunakan untuk membayar sebahagian daripada sumbangan yang saya tahu berlaku di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu ke mana sebenarnya wang daripada Project Catalyze akan pergi dan sama ada perdana menteri ketika itu Najib Razak akan menerima apa-apa secara peribadi daripadanya atau tidak.

Rolle: Secara peribadi?

Leissner: Secara peribadi, kerana sudah tentu pembiayaan pilihan raya yang saya nyatakan adalah menjurus dan bertujuan untuk menyokong dia memenangi pilihan raya semula untuk menjadi perdana menteri. Jadi apabila anda bertanya tentang dia, saya merujuk kepadanya secara peribadi.

Gambar fail, Leissner dan Ng.

Pada hari sama, Leissner turut memberi keterangan bahawa dia dan Ng masing-masing menerima sogokan AS$17.5 juta untuk penglibatan mereka dalam terbitan bon pertama bernilai AS$1.75 bilion.

Dia turut berkata mereka telah menerima sogokan untuk bon kedua, juga bernilai AS$1.75 bilion, walaupun dia tidak menyatakan jumlah yang mereka terima.

Leissner berkata dia juga bimbang tentang perhatian negatif media mengenai urus niaga bon pada masa itu kerana dia tahu dia telah menjadi "sebahagian daripada skim haram untuk penerbitan (bon itu) berlaku".

“Selain itu, kami juga telah mendapat bayaran berlebihan di Goldman Sachs yang tidak biasa untuk transaksi seperti ini. Saya mendapat sedikit keselesaan pada masa itu daripada fakta bahawa perdana menteri Najib telah memenangi pilihan raya selepas Project Catalyze dan keselesaan itu mengatasi kebimbangan media,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS