Paling Popular
Terkini

PRN JOHOR | Kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung menyediakan pentas bagi Umno sebelum perhimpunan agung tahunan parti itu yang akan diadakan selepas pilihan raya berakhir.

Empat hari selepas rakyat Johor memutuskan kerajaan negeri yang baru pada 12 Mac, perwakilan Umno dari seluruh negara akan bersidang di Kuala Lumpur.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lalu tetapi ditangguhkan berikutan PRN Melaka pada November lalu dan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Keputusan PRN Johor dijangka akan menjadi tajuk utama perbualan tetapi topik lain yang tidak kurang menarik ialah hubungan dan masa depan antara Umno dengan PAS.

Pada acara yang sama di tahun 2018, perwakilan Umno memuktamadkan keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, yang disusuli pembentukan pakatan Muafakat Nasional setahun kemudian.

Bagaimanapun keinginan Umno untuk mendapatkan semula penguasaan telah merenggangkan hubungannya dengan PAS pada pilihan raya demi pilihan raya apabila Umno mahukan peruntukan kerusi yang besar manakala PAS berang kerana ditawarkan jumlah kerusi yang lebih kecil.

Kini, terdapat cakap-cakap mengenai usul untuk ‘bercerai’ dengan PAS akan dibahaskan di perhimpunan agung Umno kali ini.

Saarani Mohamad, yang merupakan ahli majlis tertinggi Umno dan Menteri besar Perak, berkata sama ada isu itu akan dibahaskan dalam kalangan ahli Umno sangat bergantung kepada majlis kerja tertinggi (MKT) parti.

"Biasanya usul ini akan diputuskan dalam MKT terlebih dahulu.

"Oleh kerana Muafakat Nasional itu ditubuhkan berasaskan kepada keputusan MKT UMNO, didukung oleh PAU, maka kalau nak bubar pun saya yakin ia kena saluran yang sama," katanya kepada wartawan semasa wawancara di Utara Johor.

Umno Perak, di bawah pimpinan Saarani, ditugaskan untuk menyelia usaha kempen bagi kerusi DUN di dalam kawasan Pagoh dan Ledang.

‘Muafakat Nasional sudah terkubur’

Ditanya apakah Muafakat Nasional sudah terkubur, Saarani berkata ia bukan lagi perkara rahsia.

“Tak ada sudah. Buat apa lagi kita nak berselindung dalam hal ini.

"Penyatuan ini itu maksudnya. Mesti ada toleransi, saling percaya mempercayai, mesti ada niat untuk saling kukuh mengukuhkan, baru penyatuan. Tapi kalau setakat tandatangan perjanjian, hari tandatangan, bila tandatangan esok aku akan ambil kerusi Umno selama-lamanya, tak adalah (macam itu).

"Sama seperti di Melaka. Kita tawarkan kepada PAS lima kerusi boleh menang. Dengan sokongan Umno di Melaka, PAS boleh menang lima kerusi. Sebab PAS bukan kuat di Melaka. Tidak kuat. Tidak boleh menang pun. Tapi oleh kerana dia tidak nak, tidak cukup lima, nak lebih, dah tinggal berapa kerusi Umno ini?” soalnya.

Pada PRN Melaka, BN termasuk Umno menang besar manakala PAS tidak memenangi sebarang kerusi.

Kurangkan pengaruh Muhyiddin

Hubungan PAS dan Umno semakin jauh apabila PAS bertanding dalam PRN Johor di bawah bendera Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Bersatu dan Gerakan. Gabungan itu akan menentang BN yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC .

Saarani berkata dia yakin Umno boleh mengurangkan pengaruh Pengerusi PN yang juga presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di kawasan tradisinya di Pagoh.

"Tanpa kita perlu berselindung, Perak menjaga Pagoh dan Pagoh ini kita tahu bekas Ketua Umno bahagiannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan kita sudah pergi tengok orang-orang Pagoh tanpa hilang hormat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi setia dengan Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Katanya, Umno yakin kedua-dua kerus DUN di Pagoh iaitu Bukit Pasir dan Bukit Kepong akan dapat dimenangi parti itu.

"Pada waktu yang sama juga, saya menjaga Parlimen Ledang dan dalam Parlimen Ledang ini ada satu DUN yang dahulunya diwakili oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu DUN Gambir.

"Tiga tempat ini sangat penting dan saya lihat perubahan yang sangat besar dalam kalangan pengundi-pengundi dan sikapnya tanpa rasa hilang hormat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tapi mereka beri undi kepada Barisan Nasional dengan harapan Barisan Nasional akan dapat menubuhkan kerajaan yang stabil dan kuat.

"Itu adalah pegangan pengundi-pengundi sekarang," katanya.

PRN Johor akan menjadi medan ujian bagi Muhyiddin dan menentukan apakah hasrat untuk melihat PN menggantikan BN akan menjadi realiti.

Ditanya sama ada selepas pilihan raya Johor, Umno akan mencetuskan lebih banyak pilihan raya negeri bagi membina momentum pilihan raya, Saarani memberi jaminan ia tidak akan berlaku di Perak, sambil menegaskan Umno mempunyai majoriti yang kuat di negeri itu.

Dia berkata walaupun terdapat spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri di Perak, dia selaku menteri besar Perak mempunyai kuasa untuk menasihati sultan Perak mengenai pembubaran DUN.

"Saya dah beritahu, hujung bulan ini barangkali saya akan melancarkan pelan Perak Sejahtera 2030. Sebagai tawaran saya kepada rakyat negeri Perak. Jadi takkanlah saya dah lancar tiba-tiba saya bubar (DUN)," katanya.

Kempen bagi PRN Johor bermula Sabtu lalu (26 Feb), manakala rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS