Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelonggaran bagi sejumlah pengunjung luar negara mulai 3 Mac
Diterbitkan:  Feb 28, 2022 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Malaysia akan melonggarkan syarat ujian Covid-19 kepada sejumlah pengembara bermula 3 Mac ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Perubahan itu melibatkan pengembara yang masuk ke Malaysia melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pengembara perniagaan jangka pendek.

Kesemua pengembara dari luar negara masih perlu menjalani ujian dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, dan sebaik tiba di negara ini.

Namun, mereka tidak lagi perlu melakukan ujian kendiri pada hari kedua, keempat dan keenam selepas tiba, dan ujian pantas antigen (RTK-Ag) secara profesional pada hari kelima.

Selain itu, pengembara LITB juga tidak perlu melakukan ujian secara profesional sebelum meninggalkan Langkawi.

pengembara atas urusan perniagaan menerusi OSC tidak lagi memerlukan pegawai pengiring tetapi perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan jawatankuasa OSC.

"Saya ingin tekankan sekali lagi prosedur baru ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja.

"Bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program ini, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai,” kata Khairy dalam kenyataan hari ini.

Khairy juga memaklumkan yang pengembara yang tiba dari United Kingdom tidak perlu lagi mengadakan ujian kendiri Covid-19 setiap hari sepanjang tempoh kuarantin di sini.

Perubahan terbaru

Ini merupakan antara kelonggaran peraturan berkenaan Covid-19 yang diumum mutakhir ini.

Bermula esok, individu yang menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 yang telah menerima dos penggalak dan tidak bergejala tidak lagi perlu menjalani kuarantin, namun perlu melaksanakan ujian kendiri pada hari pertama dan ketiga selepas menjadi kontak rapat.

Perubahan ini di tengah gelombang varian Omicron menjadikan jumlah kes baru di tahap tertinggi, tapi pada masa sama jumlah hospitalisasi dan kematian kekal secara relatifnya rendah, terutama jika dibandingkan dengan gelombang varian Delta tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS