Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Najib akan maklum mahkamah tarikh mohon lantik peguam diraja UK

Pasukan peguam Najib Razak akan memaklumkan kepada mahkamah Persekutuan tarikh mereka akan memfailkan permohonan untuk membenarkan Peguam Diraja dari United Kingdom mewakilinya dalam rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 April depan untuk sebutan seterusnya bagi membolehkan peguam kepada bekas perdana menteri itu mengemaskini tarikh permohonan itu akan dibuat.

Sebelum ini, dilaporkan Najib berusaha melantik Peguam Diraja UK untuk mewakilinya dalam rayuan untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC melibatkan dana RM42 juta.

Pangkat peguam diraja dianugerahkan Ratu Elizabeth II kepada peguam yang menunjukkan kepakaran dan kemahiran tertentu di mahkamah.

"Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pengurusan kes seterusnya (untuk rayuan Najib) pada 8 April 2022, untuk peguam (Najib) mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja akan dibuat," kata Ashrof.

DPP memaklumkan perkara itu kepada pihak media selepas pengurusan kes rayuan Najib secara dalam talian oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan (di Istana Kehakiman, Putrajaya) petang tadi. DPP V Sithambaram mewakili pihak pendakwaan.

Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh dan Nur Syahirah Hanapiah semasa sebutan yang dijalankan melalui zoom hari ini.

Najib berusaha membatalkan sabitan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya melibatkan RM42 juta dana SRC.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan serta hukuman dalam kes rasuah berkenaan.

Sebelum ini SRC yang juga anak syarikat 1MDB merupakan milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Selain bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Tarikh rayuan Najib kemuka bukti baru dilapangkan

Sementara itu, Ashrof berkata, Mahkamah Persekutuan telah melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 15 dan 16 Mac berhubung rayuan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC.

DPP berkata mahkamah tertinggi itu melapangkan tarikh berkenaan selepas peguam bekas perdana menteri itu menulis untuk meminta tarikh perbicaraan dikosongkan.

Ashrof menjelaskan bahawa pasukan peguam Najib memohon penangguhan itu kerana mereka sedang mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, bagi menyediakan penghujahan bertulis untuk rayuan bukti tambahan.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan juga menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib untuk membawa bukti baru dalam kes rayuan SRC.

Najib mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Dis tahun lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baru dalam kes SRC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS