Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf: Ciapan isu kronisme bukan tentang Dr Dzul 
Diterbitkan:  Feb 28, 2022 12:39 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menafikan hantaran di Twitter mengenai kronisme merujuk kepada Dr Dzulkefly Ahmad, berdasarkan pernyataan pembelaan Asyraf terhadap saman fitnah bekas menteri kesihatan itu. 

Sebelum ini dilaporkan Dzulkefly memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember tahun lepas, berhubung hantaran di akaun Twitter Asyraf yang dibuat pada 24 Ogos 2020. 

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mendakwa hantaran Twitter itu mengandungi tuduhan fitnah tentang nepotisme ke atasnya, berhubung ahli lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 23 Feb dan dilihat Malaysiakini, Asyraf berkata hantaran itu adalah komen, pendapat atau ulasan tentang isu tular berkenaan surat sokongan yang mencadangkan pelantikan anak timbalan menteri pertahanan ketika itu, Ikmal Hisham Abdul Aziz sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad. 

Defendan mendakwa cadangan lantikan itu dipersetujui menteri kanan pertahanan ketika itu iaitu Ismail Sabri Yaakob, yang kini perdana menteri. 

Katanya, hantaran itu berdasarkan beberapa artikel berita daripada Berita Harian Online dan Utusan Malaysia, selain dia juga mendakwa turut membangkitkan persoalan berkenaan nepotisme dan kronisme yang menjadi isu berbangkit semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH). 

Dakwa defendan, selaku ahli politik dan bekas timbalan menteri, dia mempunyai tanggungjawab serta obligasi politik dan sosial untuk membangkitkan isu-isu semasa dan berkepentingan awam untuk dibawa ke perhatian masyarakat umum dan juga memberi pandangan, komen dan pendapat sewajarnya berkenaan isu-isu tersebut.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh defendan melalui posting defendan pada 24 Ogos 2020 tidak sama sekali merujuk kepada plaintif, reputasi plaintif dan/atau identiti plaintif secara langsung dan/atau tidak langsung,” hujah Asyraf. 

Defendan turut menafikan yang hantarannya itu berniat jahat, dengan menyertakan artikel Sinar Harian yang menunjukkan gambar plaintif, dengan berhujah bahawa ia hanya lampiran umum berkenaan amalan nepotisme dan kronisme yang dibangkitkan akhbar itu pada 28 Jan 2019. PH masih berkuasa ketika itu.

Asyraf mendakwa artikel Sinar Harian itu secara jelas sekali menunjukkan Dzulkefly telah menjawab dakwaan amalan nepotisme yang dibangkitkan semasa pelantikan anaknya sebagai ahli lembaga AIM. 

Defendan turut membangkitkan soal justifikasi dan ulasan saksama, bersama dengan pembelaan-pembelaan lain terhadap saman fitnah plaintif tersebut. 

Di bawah undang-undang saman fitnah Malaysia, justifikasi ialah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan itu adalah benar, dan sekiranya berjaya dibuktikan di mahkamah, akan menjadi pembelaan mutlak terhadap tindakan undang-undang.

Pembelaan ulasan saksama pula adalah apabila sesuatu kenyataan yang disangkal itu dibuat sebagai ulasan yang saksama (bukannya sebagai satu kenyataan fakta) atas perkara yang melibatkan kepentingan awam. 

Dzulkefly diwakili peguam-peguam daripada firma SN Nair & Partners, sementara peguam daripada Shahrul Hamidi & Haziq pula mewakili Asyraf.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS