Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PH zon selatan gesa buka semula sempadan Singapura

PRN JOHOR | Enam calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi bahagian selatan Johor menggesa agar sempadan negeri dengan Singapura dibuka semula, setelah menyentuh kesan jangka panjang kepada rakyat Johor dan ekonomi negeri itu.

Banyak perniagaan tempatan di Johor, daripada peruncit kejiranan, penjaja, pengendali pengangkutan kepada perniagaan yang lebih besar, sangat bergantung kepada pelawat dari Singapura, selain daripada rakyat Malaysia yang memperoleh pendapatan dengan bekerja di pulau itu.

Demikian kata calon dari Amanah, DAP dan sekutu mereka Muda dalam sidang media bersama di pusat penjaja di N45 DUN Stulang.

PH mempertaruhkan penyandangnya Andrew Chen Kah Eng untuk bertanding di kerusi itu yang terletak di bawah parlimen Johor Bahru.

Chen berkata isu pembukaan sempadan dengan Singapura telah menjadi isu untuk orang Johor yang berulang-alik sejak wabak Covid-19 bermula dua tahun lalu, tanpa komitmen yang jelas daripada kerajaan untuk menangani isu berkaitan yang melibatkan rakyat Johor.

"Kami meminta kerajaan negeri untuk menekan kerajaan persekutuan untuk berunding dengan Singapura untuk mencapai keputusan mengenai pembukaan semula sempadan tidak lama lagi," katanya.

Chen berkata kedua-dua kerajaan perlu mempercepatkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) tanpa kuarantin kepada kenderaan persendirian, termasuk kereta dan motosikal, melebihi kebenaran semasa yang diberikan hanya kepada penumpang yang menaiki bas awam.

Tutup sempadan had peluang kerja

Penyandang Amanah dan calon N49 Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura yang menjejaskan bukan sahaja pengundi di Selatan Johor tetapi di seluruh negeri.

“Membuka semula sempadan akan meningkatkan pembelian hartanah di Johor.

“Johor mempunyai lebihan bekalan hartanah tertinggi di negara ini [...] Pelabur dari Singapura adalah antara pembeli utama hartanah di Johor,” katanya.

Kota Iskandar, Stulang dan kawasan sekitarnya antara yang paling dekat dengan seberang tambak dan pemandangan terus ke Singapura dapat dilihat dari bangunan tinggi tempatan.

Dzulkelfly berkata sebelum ini program Malaysia Rumah Keduaku untuk ekspatriat menyaksikan 42 peratus pengambilan hartanah di Johor, sebahagian besarnya oleh rakyat Singapura kini menghadapi sekatan berikutan penutupan sempadan yang berpanjangan.

Dari segi ketibaan pelancong ke Johor, calon Muda untuk Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz berkata penutupan sempadan telah menyebabkan kesan yang menjejaskan pemilik hotel dan pekerjanya.

Dia juga berkata graduan baru yang berdepan dengan peluang pekerjaan terhad di Johor turut bergelut dengan penutupan sempadan, tanpa pilihan untuk berulang-alik bekerja di Singapura.

"Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini berulang-alik ke Singapura terpaksa mencari sewa di pulau itu, dengan kos sara hidup yang sangat tinggi," katanya.

'Sanggup ketepi perbezaan politik'

Secara keseluruhannya, Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong, yang juga calon N46 DUN Perling berkata Malaysia perlu menerajui kepimpinan dalam pembuatan keputusan mengenai pembukaan semula sempadan dan menyatakan pendiriannya kepada Singapura.

"Cadangan kami mudah, untuk ujian saringan dan membenarkan.

“Individu yang telah diuji negatif boleh dibenarkan masuk tanpa kuarantin," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang berkempen untuk calon PH berkata pihaknya sanggup mengetepikan sebarang perbezaan politik untuk penyelesaian bersama terhadap isu tersebut.

"Hanya umumkan sempadan dibuka semula tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, mengenai isu peningkatan kos sara hidup, Lim menolak kenyataan yang dilaporkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid, bahawa harga barangan tidak akan terus terjejas oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Adalah tidak logik untuk berkata harga tidak akan meningkat. Jika bekalan global terhad kerana sekatan, semua harga akan terjejas," katanya.

Pemimpin lain yang hadir sidang media hari ini termasuk calon DAP untuk N42 DUN Johor Jaya Liow Chai Tung dan N48 DUN Skudai Marina Ibrahim.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS