Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN JOHOR | MCA memulakan kempen untuk calonnya di kerusi DUN Perling, Nicole Tan Hiang Kee dengan menjemput bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sebelum ini disabitkan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Tan mengunjungi medan selera di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, dengan kebanyakan pengnjung Cina mengerumuni mereka tetapi perhatian lebih tertumpu kepada Najib berbanding calon MCA itu sendiri.

Tan ketika ditanya apakah dia bimbang imej Najib membayanginya, berkata "Tidak mengapa kerana kita kongsi tumpuan".

"Lagipun, kami adalah daripada gabungan politik yang sama. Saya berasa berbesar hati kerana beliau sudi membantu saya dalam pilihan raya ini," katanya kepada wartawan.

Tan akan berdepan pencabarnya, Khoo Siaw Lee dari Perikatan Nasional (PN) dan Liew Chin Tong dari Pakatan Harapan (PH) di kerusi berkenaan.

Liew berkata, dia tidak berpendapat majoriti pengundi golongan pertengahan kaum Cina akan menerima pemimpin yang dituduh melakukan rasuah besar, di sebalik sikap yang dipamerkan Najib kepada kaum Cina.

Najib bagaimanapun berpendapat sebaliknya.

"Saya lihat bahawa sokongan masyarakat kaum Cina kian bertambah dan meningkat. Kalau lihat sambutan yang diterima pagi ni, boleh kata sambutan hangat.

"Kita tak nampak ini masa PRU14 lalu," katanya kepada wartawan.

Malah Najib berkata, dia juga melihat ada seorang pemuda yang akan mengundi buat kali pertama menyarungkan baju-T 'Bossku'.

"Malu apa bossku" adalah slogan yang dicipta untuk menjenamakan semula imej Najib selepas dia tewas pada pilihan raya umum 2018 berikutan skandal 1MDB.

Bagaimanapun, PH yang berjaya menamatkan kekuasaan BN selama enam dekad hanya dapat bertahan selama 22 bulan apabila gabungan itu berpecah.

Kini terdapat dua gabungan parti politik yang menentang BN iaitu PH dan PN

Najib lawan Muhyiddin

PN juga cuba menampilkan poster pengerusinya Muhyiddin Yassin yang diberikan gelaran "Abah" pada pilihan raya Johor.

Bagaimanapun Najib berkata sama ada strategi itu berkesan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pengundi pada hari mengundi nanti.

"Sama ada itu menguntungkan Bersatu atau tidak bergantung pada masa lah, kita tengok 12 Mac nanti," katanya sambil tertawa.

Terdahulu, Najib dilihat bergambar dan beramah mesra dengan pengunjung Cina di medan selera itu, dengan sesetengahnya menyambutnya dengan sorakan 'Bossku'.

Najib membuat kemunculan menjelang pilihan raya Johor, termasuk melawat perarakan tahunan Johor Chingay dan melawat Sekolah Tinggi Foon Yew yang merupakan sebuah sekolah persendirian Cina terbesar di Johor.

Ditanya mengenai kritikan terhadap lawatannya berikutan sabitan terhadapnya di mahkamah, Najib berkata dia dijemput untuk hadir kedua-dua acara itu.

"Kalau masyarakat tempatan sendiri minta saya hadir, orang lain kenapa nak buat sibuk pula kan.

"Itu hak mereka siapa yang nak dijemput. Kalau jemput pemimpin DAP pun hak mereka tapi kali ini pun mereka tak jemput pemimpin DAP. Kenapa tak disebut tak jemput? Tanyalah mereka," katanya.

Kerusi DUN Perling disandang oleh Cheo Yee How dari DAP, namun pada PRN ini namanya digugurkan sebagai calon.

Pada pilihan raya umum 2018, Cheo menang dengan majoriti 19,533 undi.

BN kurang menerima sokongan daripada masyarakat Cina pada PRU lalu tetapi mengharapkan berlaku perubahan kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS