Pada masa ini strategi meletakkan calon-calon muda dan muka baru dalam pilihan raya mula menjadi trend dalam kalangan parti-parti politik.
Pun begitu, penganalisis politik berpendapat keaktifan calon tersebut untuk terlibat dalam aktiviti politik dan sosial di lapangan perlu dititikberatkan bagi menambat hati pengundi.
Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, calon muda mesti memiliki ‘Faktor -X’ untuk dikenali pengundi walaupun pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
“Hal ini penting walaupun diletakkan calon muda, calon tersebut mestilah aktif di bawah.
“Sama ada dari segi politik atau aktiviti sosial, calon berkenaan mesti aktif supaya dikenali oleh orang ramai," katanya kepada Malaysiakini.
Azmi memberi contoh ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila calon termuda mendapat undi rendah dengan hanya sekitar 1,000 undi.
“Kalau kita lihat di Melaka, ramai calon-calon muda tidak dikenali pengundi setempat, sebab itu mereka tidak mendapat undi yang memberangsangkan walaupun mereka pertama kali dicalonkan,” katanya.
Untuk rekod, calon termuda pada PRN Melaka Nov lalu merupakan Farzana Hayani Mohd Nasir, 21 yang bertanding di DUN Sungai Rambai menentang tiga calon lain daripada Umno, Bersatu dan Bebas.
Bagaimanapun Farzana tewas dengan hanya memperolehi 1,356 undi daripada 7,905 pengundi.
Selain itu Azmi berkata calon muda haruslah berani melontarkan pandangan dan mengambil sikap dalam sesuatu isu, serta tidak terlalu bergantung kepada imej parti atau pandangan pemimpin yang lebih veteran.
“Jadi calon muda ini tak boleh nampak sangat sinonim dengan parti, perlu berani kadang-kala menongkah arus kehendak parti,” katanya.
Pada PRN Johor, BN menampilkan lebih 70 peratus muka baru sebagai calon, di mana lebih 80 peratus calon terdiri daripada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah.
Begitu juga dengan Perikatan Nasional, yang menampilkan sebahagian besar muka-muka baru sebagai calon PRN.
‘Meremajakan’ parti
Penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat penampilan muka baru sebagai calon parti politik sesuai dengan gesaan supaya muka baru diketengahkan.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa golongan muda dan baru tidak dipinggirkan dalam arus ‘meremajakan’ parti.
“Sekiranya parti tidak berbuat demikian, segmen pengundi muda akan kurang tertarik dengan sesebuah parti, malah akan melabelkan parti tersebut sebagai parti kuno dan tidak dinamik.
“Ternyata ini berkait rapat dengan senario politik sedia ada, yang rakyat mahukan kombinasi muka lama dan baru,” katanya yang menyifatkan ia penting demi kesinambungan kepimpinan parti itu sendiri dan kepimpinan negara.
Awang berkata langkah Umno menampilkan calon muda misalnya secara tidak langsung menangkis dakwaan bahawa parti itu tidak memberikan laluan kepada golongan muda dan muka baru untuk menyertai pilihan raya.
“Ini dapat mengubah persepsi pengundi terhadap sesebuah parti seperti Umno yang pernah dilabel sedemikian oleh seteru politik mereka,” katanya.
Bagaimanapun, dia berkata ciri-ciri sebenar yang perlu ditonjolkan kepada pengundi ialah sifat karismatik dalam aspek keterampilan diri, kemahiran oratosi yang tinggi, serta berkemahiran membaca kehendak dan minda rakyat bagi meraih sokongan pengundi.