Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Malaysia amat prihatin 'peningkatan konflik' di Ukraine
Diterbitkan:  Feb 26, 2022 4:43 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Perdana Menteri Ismail Sabri menyuarakan Malaysia “amat prihatin” berhubung pencerobohan Rusia di Ukraine yang sedang berlaku.

Kenyataan Ismail tidak menggunakan istilah “pencerobohan”, sebaliknya menyifatkan situasi itu sebagai “peningkatan konflik”.

Ia berbeza dengan Singapura dan Indonesia.

Singapura berkata ia “amat bimbang” dan “mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan tanpa provokasi” Rusia terhadap Ukraine.

Indoesia pula menyifatkan “serangan ketenteraan” oleh Rusia “tidak dapat diterima”.

Rusia bukan antara negara dagang utama Malaysia.

Sementara itu, Indonesia menyifatkan "serangan ketenteraan" oleh Rusia "tidak boleh diterima”

Ismail berkata pendirian Malaysia adalah semua pihak terlibat perlu mengambil langkah untuk mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa dan kemusnahan.

Dia berkata di tahap ini, segala usaha perlu dilipatgandakan ke arah penyelesaian aman menerusi dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

“Malaysia akan terus menyokong usaha sedemikian demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta menggalakkan kemakmuran yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.

Ismail turut menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menjalankan tanggungjawab utamanya bagi mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa menyifatkan keadaan di Ukraine sebagai “pencerobohan ganas (brutal)” oleh Rusia.

Jawatankuasa itu berkata ia telah menyebabkan 137 tentera dan orang awam terkorban akibat serangan udara.

“13 pengawal sempadan yang enggan menyerah kepada kapal perang Rusia di sebuah pulau di Laut Hitam telah dibunuh.

"Dunai berkabung bersama-sama rakyat Ukraine yang begitu berani mempertahankan negara mereka yang merdeka,” kata jawatankuasa itu.

Katanya lagi, tindakan Presiden Rusia Vladimir Putin yang memilih “tindakan ganas dan permusuhan” ke atas sebuah negara merdeka yang telah menderita berdekad lamanya ekoran kebuluran, penindasan, dan rampasan hak asasi oleh pemerintah, berbanding perbincangan secara aman amat dikesalkan.

Jawatankuasa itu berkata pihaknya akan bermesyuarat minggu depan dan akan mengundang Wisma Putra untuk taklimat berkenaan hubungan diplomatik dengan Rusia dan Ukraine.

Ia juga berikrar akan menghubungi Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechyaylo untuk menyuarakan kebimbangan mereka berhubung keselamatan dan nasib rakyat negara itu yang “cintakan kedamaian”.

“Kami menggesa perdana menteri dan menteri luar, yang mewakili suara rakyat Malaysia yang prihatin, selaku anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR) untuk menyatakan pendirian dan mengecam kezaliman dan penindasan oleh Rusia terhadap Ukraine dengan kadar segera, demi menunjukkan sokongan terhadap rakyat Ukraine,” kata jawatankuasa itu lagi.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Salahuddin Ayub (PH-Pulai), dan dianggotai Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort), Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat), Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), (PH-Bayan Baru Sim Tze Zin) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan). 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS