Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Bertindaklah sebagai ahli kerajaan bertanggungjawab

Saya ingin memberi pandangan berhubung kenyataan Abdul Hadi Awang yang kesal undang-undang Islam boleh dibatalkan oleh undang-undang penjajah ciptaan manusia di Malaysia.

Isu ini wujud sejak merdeka lagi dan terus berulang dalam situasi hari ini. Bagaimanapun ia mesti ditangani dengan penuh sabar serta bijaksana tanpa emosi yang kadangkala boleh menimbulkan kekacauan.

Abdul Hadi pernah bercakap isu ini dengan  berapi-api sebagai pembangkang dahulu dan kini nadanya hampir sama walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan yang berkuasa dan menjadi duta khas bertaraf menteri.

Bukan itu sahaja, menteri agama, Idris Ahmad dan timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary kedua-duanya dari PAS - parti beliau sendiri menjadi pemimpin nombor satu.

Sebagai ahli parlimen kerajaan, cubalah cadangkan penyelesaian jangka masa panjang. Beliau ada menyatakan ada pertembungan kuasa raja-raja Melayu di peringkat negeri dan mahkamah persekutuan.

Kumpul para agamawan, cerdik pandai dan pakar undang-undang untuk mencari jalan menyelesaikan "konflik undang-undang" antara undang-undang Islam negeri dan undang-undang sivil .

Lebih baik mereka yang berada dalam kerajaan bertindak dengan tenang dan kurang beremosi seperti semasa pembangkang dahulu, kerana cara emosi telah lama tidak membawa kita ke mana-mana titik penyelesaian tetapi sebaliknya hanya menimbulkan kekecohan. 

Itulah sebaik-baiknya jika kita mahu cari penyelesaian jangka masa panjang dan bukan medan pertelingkahan yang tajam yang boleh menghancurkan negara.

Peranan kerajaan ialah untuk mencari penyelesaian perdamaian yang baik, membina negara  yang aman harmoni untuk semua dan bukan untuk meneruskan pertelingkahan yang berterusan.

Selain daripada isu ini, Abdul Hadi dan PAS pernah juga membawa isu seperti RUU355 semasa menjadi pembangkang tetapi walaupun telah menjadi kerajaan isu tersebut telah diam begitu sahaja.

Abdul Hadi, dan lebih khusus lagi Idris sebagai menteri agama, sepatutnya berperanan proaktif menenteramkan keadaan ke arah penyelesaian  dan bukan menyumbang ke arah pertelingkahan.

Setakat ini, menteri agama belum mengeluarkan sepatah kenyataan pun lagi dalam isu ini.

Mereka perlu ingat dan bercakap sebagai kerajaan bertanggungjawab dan bukan lagi pembangkang.

Gunakanlah kuasa yang diidami dan dimiliki hari ini untuk kebaikan kerana telah menjadi kerajaan untuk semua dan bukan hanya sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Isu penting sebegini tidak boleh dibawa cara bermusim mengikut  suasana semasa atau politik tetapi perlu dibuat secara berterusan dengan ikhlas.

Apabila isu agama bercampur politik, agama Islam, masyarakat serta negara akan menjadi punah. 

Kita mempunyai sembilan negeri dengan raja-raja Melayu dengan undang-undang yang perlu diselaraskan bersama dengan undang-undang persekutuan.

Tunjuklah kebijaksanaan berilmu tanpa membangkitkan emosi serta sentimen untuk penyelesaian. 

Menyalahkan undang-undang penjajah Inggeris berpuluh tahun tidak membawa kita ke mana.

Bertindaklah sebagai ahli anggota kerajaan yang bertanggungjawab untuk mencari kedamaian penyelesaian untuk seluruh rakyat dan bukan membangkit emosi di kalangan rakyat tanpa solusi mengikut ajaran Islam sebenarnya.

Rakyat dan dunia memerhati bagaimana kerajaan hari ini menangani isu ini setelah kerajaan hari ini telah mengambil alih kuasa pentadbiran negara.


RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS