Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi mahu perlembagaan ditafsir ikut kefahaman agama
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 8:02 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata, selepas negara ini lama mencapai kemerdekaan sepatutnya "kita" wajar mentafsir perlembagaan mengikut bahasa sendiri dan kefahaman agama yang dianuti.

Perlembagaan negara ini, katanya, sudah menegaskan bahawa Islam sebagai agama persekutuan.

"Walaupun teks asal perlembagaan tersebut dalam bahasa Inggeris, namun apabila kita mencapai kemerdekaan sepatutnya terpulang kepada kita sendiri untuk mentafsirkannya dengan bahasa kita mengikut kefahaman agama yang kita anuti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pandangan duta khas bertaraf menteri itu hadir tiga hari selepas Mahkamah Kuala Lumpur mengarahkan agar tiga beradik - termasuk dua daripadanya kembar - diserahkan kepada ibu mereka, Loh Siew Hong.

Kanak-kanak berkenaan sebelum ini diislamkan oleh bapa mereka secara sepihak. Bagaimanapun Loh masih beragama Hindu. Bapa kepada kanak-kanak terbabit - yang juga bekas suami Loh - kini ditahan di penjara.

Pada hari sama (21 Feb) sembilan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan bahawa tidak berperlembagaan untuk Dewan Undangan Negeri Selangor memberikan kuasa semakan kehakiman kepada mahkamah tinggi syariah di negeri itu.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - yang mengetuai panel hakim terbabit - berkata Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan dan terbatal dalam bentuk semasa.

Perjuangan belum selesai

Dua hari lalu pula mahkamah membatalkan pengharaman kerajaan ke atas buku Gay Is OK! A Christian Perspective selepas keputusan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini dicabar.

Kata Abdul Hadi Islam wajib dimuliakan mengatasi segala agama, ideologi dan ajaran lain sehinggalah ia berkuasa memerintah dalam sebuah negara berdaulat kerana ia adil untuk semua.

"Kini terserlah bahawa agama Islam yang dikatakan di bawah naungan raja-raja melalui pentadbiran khusus - yang dinamakan majlis agama Islam - tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia.

"Bahkan, hukum yang nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakimnya," kata ahli parlimen Marang itu lagi.

Abdul Hadi juga memuji beberapa bekas hakim termasuk Allahyarham Salleh Abbas, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Allahyarham Hashim Yeop Abdullah Sani kerana memahami "apa yang tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan" dan "mentafsirkannya dengan fikiran yang merdeka" daripada pengaruh penjajah.

"Akan tetapi, kepada mereka yang jahil atau terlepas pandang terhadap perkara tersebut, perlulah menyedari betapa bahaya dunia dan akhiratnya apabila mereka melangkah kekuasaan Allah Tuhan Pencipta dan Pemerintah seluruh alam," katanya lagi.

Menurut Abdul Hadi perjuangan umat Islam belum selesai selagi agama itu tidak dimuliakan setinggi-tingginya.

"Setiap golongan yang beriman percaya bahawa kemuliaan umat Islam tetap ada selagi mereka bersama Islam.

“Di manakah raja-raja, para ulama dan rakyat yang beriman?" tanya Abdul Hadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS