Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda, PKR bakal bertembung di Larkin
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 3:14 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

PRN JOHOR | Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengesahkan mereka akan menyertai persaingan merebut kerusi DUN Larkin yang sebelum ini sudah disahkan ditandingi PKR.

Ketua Penerangan Muda Johor Rasid Abu Bakar akan menjadi pertaruhan parti itu untuk kersi tersebut. PKR pula menamakan Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa mengumumkan nama Rasid berkata, segala usaha bagi mengelakkan pertembungan di Larkin sudah dibuat namun gagal.

Katanya Muda mengadakan rundingan beberapa pusingan dengan parti lain dan bersama DAP serta Amanah, mereka berjaya mengelakkan pertembungan sesama pembangkang.

"Seperti yang anda sedia maklum, PKR mengumumkan mereka akan bertanding di semua 20 kerusi awal minggu lalu. Bagi Muda, kami menghormati rakan dalam PKR.

"Begitu juga, kita kata kita mahu fokus kepada kerusi yang dimenangi oleh Bersatu dan Umno, dan ini adalah kerusi yang kita akan tandingi untuk menawarkan calon kita untuk dipilih oleh rakyat Johor," katanya.

Dengan tindakan terbaru Muda itu, kini terbuka kemungkinan PKR akan bertindak balas dengan meletakkan calon mereka pula di enam kerusi lain yang ditandingi parti terbabit.

Patut beri peluang

Sementara itu sumber PKR memberitahu Malaysiakini, parti itu akan mengadakan mesyuarat biro politik esok untuk menentukan sikap dan merangka langkah susulan.

Syed Saddiq turut mengumumkan calon Muda untuk kerusi Machap dan Parit Raja.

Untuk Machap, Muda menurunkan Timbalan Ketua Muda Johor, R Sangaran, manakala setiausaha parti itu untuk negeri terbabit, Fikri Musa, dipertaruhkan di Parit Raja.

Di Machap Muda mengambil langkah berani apabila menurunkan calon bukan Melayu ketika parti kerajaan atau pembangkang tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

Pengundi Machap terdiri daripada 62 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 5 peratus India.

Untuk rekod Muda juga mengambil langkah sama untuk kerusi Tenang.

Sementara itu mempertahankan langkah Muda itu, Syed Saddiq berkata, parti itu membuat pertimbangan berdasarkan nilai khidmat yang boleh ditawarkan calon mereka.

"Sesetengah pihak akan bertanya mengapa Muda meletakkan calon berbangsa India di Machap ketika masyarakat India tidak ramai di situ.

"Saya ingin menegaskan bahawa Muda ialah parti pelbagai bangsa yang memberi tumpuan kepada nilai dan khidmat sama ada untuk orang Melayu, Cina atau India.

"Selagi mereka mahu berkhidmat, kita patut memberikan mereka peluang," katanya.

Kata bekas menteri belia dan sukan itu, Sangaran merupakan seorang peguam dan menjadi anak yatim piatu seawal usianya 17 tahun. Ayah Sangaran seorang pemandu lori, manakala ibunya suri rumah.

Fikir pula, katanya, seorang jurutera yang jurutera dan pernah bekerja dengan syarikat besar

Berikut ialah senarai calon Muda untuk PRN Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini:

N05 Tenang - Lim Wei Jiet

]N07 Bukit Kepong - Afiqah Zulkifli

N22 Parit Raja - Fikri Musa

N26 Machap - R Sangaran

N41 Puteri Wangsa - Amira Aisya Abd Aziz

N44 Larkin - Rasid Abu Bakar

N50 Bukit Permai - Azrol Rahani

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS