Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.1 peratus
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 3:08 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Lembaga Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus yang bakal dimanfaatkan 8.4 juta pendepositnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 2021 itu melibatkan jumlah sebanyak RM2.46 bilion.

"Kadar agihan bagi tahun 2021 adalah kompetitif dan lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu sebanyak 2.36 peratus.

"Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebagai rekod agihan keuntungan pada tahun sebelumnya (2020) adalah sebanyak 3.05 peratus.

Sementara itu Idris berkata selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur Tabung Haji.

"Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus Tabung Haji," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS