Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara Roger Ng tertangguh berikutan pendedahan bukti

Perbicaraan melibatkan bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa membantu penyelewengan dana kekayaan negara, 1MDB tertangguh kerana kelewatan penyerahan beberapa bukti oleh pihak pendakwa kepada pihak pembelaan, kata hakim dalam kes itu pada Rabu.

Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pendakwa raya berkata, Ng menerima berjuta-juta dolar dalam bentuk sogokan kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Pendakwa raya berkata dalam pemfailan mahkamah pagi Rabu - lebih seminggu selepas kenyataan pembukaan dalam perbicaraan Ng bermula - bahawa mereka mengetahui lewat pada Selasa bahawa salah satu bahagian Jabatan Kehakiman (DOJ) AS tidak berkongsi dengan mereka atau Ng kira-kira 15,500 dokumen berkaitan bekas bos Ng, Tim Leissner.

"Kerajaan secara mutlak, dan mengakui pada ketika ini tidak memenuhi kewajipannya," kata Marc Agnifilo, seorang peguam mewakii Ng kepada Hakim Daerah AS, Margo Brodie di mahkamah persekutuan Brooklyn di luar kehadiran juri.

"Bukti datang secara tiba-tiba," katanya.

Agnifilo berkata dokumen itu boleh menjadi kritikal bagi pihak pembelaan.

Brodie menggelar pendedahan yang lewat itu sebagai "menyusahkan", sambil menyatakan bahawa dia sebelum ini meminta pendakwa raya untuk memastikan semua pendedahan dibuat.

Leissner, yang mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018, memberi keterangan terhadap Ng, 49, selaku saksi utama kerajaan.

Masa diberikan untuk semak dokumen

Brodie berkata dia akan membenarkan pendakwa raya menyelesaikan soal siasat Leissner, dan kemudian menangguhkan perbicaraan sebelum pemeriksaan balas untuk memberi masa kepada Agnifilo menyemak dokumen baru.

"Saya akan beri anda seberapa banyak masa yang anda perlukan," kata Brodie, walaupun dia menyatakan bahawa perbicaraan itu tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya.

Agnifilo berhujah bahawa AS$35 juta yang diterima Ng, yang dikatakan kerajaan sebagai keuntungan yang diperoleh secara haram, sebenarnya diperoleh daripada usahasama perniagaan yang tidak berkaitan antara isteri Ng dan bekas isteri Leissner.

Penolong Peguam AS, Alixandra Smith berkata kelewatan pendedahan itu adalah "kesilapan yang tidak boleh dimaafkan" dan tidak membantah untuk menangguhkan perbicaraan.

Perbicaraan itu berkaitan salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Antara 2009 dan 2014, Goldman memperoleh bayaran AS$600 juta kerana membantu 1MDB menjual AS$6.5 bilion dalam bentuk bon, namun kira-kira AS$4.5 bilion daripadanya telah dialihkan, dan pegawai bank Goldman merasuah pegawai-pegawai untuk memperoleh perniagaan bagi bank itu, kata pendakwa raya AS.

Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengatur supaya bahagiannya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS