Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid akan hantar surat tuntut Dr M mohon maaf dakwaan 'melobi'
Diterbitkan:  Feb 23, 2022 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan undang-undang kepada Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad supaya dia memohon maaf.

Ini berlaku selepas laporan petang tadi memetik bekas perdana menteri berkata Zahid telah datang kepadanya untuk meminta siasatan rasuah terhadapnya dihentikan.

Bagaimanapun, Zahid berkata dia tidak pernah membuat permintaan sedemikian kepada Mahathir dan menuduhnya berbohong.

"Saya dijemput bersama-sama dengan presiden-presiden parti oleh Tun Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.

"Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Mahathir untuk berbuat demikian.

"Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh, kerana ketika itu saya adalah timbalan perdana menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan,” katanya pada satu hantaran di Facebook.

Gambar fail, Zahid bertemu Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri.

Zahid menjawab laporan Berita Harian hari ini yang memetik Dr Mahathir membuat dakwaan itu.

Mahathir dilaporkan mendakwa apabila terdapat tanda-tanda dia akan menjadi perdana menteri, Zahid datang bersama dua atau tiga orang lain ke rumahnya dan meminta siasatan terhadapnya dihentikan.

"Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi perdana menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS