Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Leissner ada hubungan sulit dengan tiga wanita M'sia, dua berkait politik
Diterbitkan:  Feb 23, 2022 8:00 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner mendedahkan dia bukan sahaja meraih urus niaga besar di Malaysia, dia juga sempat bercinta - dengan tiga wanita.

Memberi keterangan di hadapan mahkamah Amerika Syarikat dalam perbicaraan terhadap Roger Ng, Leissner mendedahkan perkara itu apabila pendakwa raya bertanya kepadanya tentang perjalanannya ke Beijing pada 2009.

Leissner, Ng dan Low Taek Jho telah pergi ke Beijing, bertepatan dengan lawatan rasmi pertama Najib Razak ke luar negara sebagai perdana menteri pada 4 Jun dan 5 Jun. Najib diterima oleh presiden China ketika itu Hu Jintao dan perdana menteri Wen Jiabao.

Menurut transkrip mahkamah, pihak pendakwaan menunjukkan cetakan e-mel Leissner yang dijelaskan oleh saksi itu berkaitan mengadakan pertemuan di Beijing dengan Low, juga dikenali sebagai Jho Low, dan juga pegawai kerajaan.

Apabila Leissner ditanya dengan siapa dia melakukan perjalanan itu, dia mendedahkan ditemani anak saudara bekas ketua menteri Sarawak.

Pada masa itu, Leissner telah berkahwin secara sah dengan orang lain.

Pendakwa Drew Rolle: Jadi adakah anda mempunyai hubungan sulit dengan Cik [nama dirahsiakan]?

Leissner: Ya.

Rolle: Dan siapa dia, Cik [nama dirahsiakan]?

Leissner: Dia rakyat Malaysia dan dia ialah anak saudara kepada (bekas) ketua menteri Sarawak.

Rolle: Dia ada kaitan dengan pegawai kerajaan?

Leissner: Dia ialah anak saudara kepada ketua menteri, ya.

Rolle: Pada ketika itu adakah Goldman Sachs menjalankan perniagaan di Sarawak?

Leissner: Ya, kami ada.

Leissner mendedahkan ketika dia menjalinkan hubungan bersama wanita itu, majikannya Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan Sarawak.

Dia tidak mendedahkan perkara ini kepada bahagaian fungsi kawalan Goldman Sachs walaupun syarikat itu mempunyai dasar mengenai hubungan dengan saudara-mara pelanggan atau pegawai kerajaan.

Ditanya sekiranya hubungan dengan wanita itu memberi manfaat kepadanya dari segi kerja untuk Goldman Sachs, Leissner menjawab: "Tidak secara langsung."

Jelasnya, perantara untuk perjanjian itu dikenali sebagai "Mr Seow", yang mengutip yuran bagi pihak perantara antara Goldman Sachs dan Sarawak.

Ketika masih berkahwin secara sah, Leissner berkata dia pernah bertunang dengan anak saudara bekas ketua menteri itu tetapi akhirnya tidak berkahwin dengannya.

Dua hubungan sulit lain

Pendakwa raya kemudian bertanya kepada Leissner jika terdapat orang lain yang berkaitan dengan pelanggan yang mempunyai hubungan dengannya, yang mana saksi menjawab "ada."

Dia mendedahkan dia mempunyai hubungan "lama" dengan seorang wanita yang merupakan ketua eksekutif sebuah syarikat media sejak 2003.

Dia juga berkata dia mempunyai hubungan sulit dengan anak perempuan seorang duta Malaysia ke AS.

Malaysiakini tidak menamakan wanita berkenaan kerana menghormati privasi dan mereka tidak terlibat dalam urusan 1MDB.

Apabila pendakwa bertanya kepada Leissner sekiranya Goldman Sachs mendapat manfaat daripada hubungannya dengan bekas ketua eksekutif syarikat media itu, saksi sekali lagi menjawab: "Tidak secara langsung."

Dia berkata semasa Goldman Sachs melakukan kerja untuk tawaran awam permulaan syarikat media itu, hubungan pasangan tersebut tidak disukai oleh pemilik syarikat media berkenaan.

Sekali lagi, Leissner tidak melaporkan hubungan dengan bahagian fungsi kawalan Goldman Sachs.

Belikan rumah AS$10 juta di London

Leissner mengakui dia memperoleh banyak wang daripada urusan 1MDB dan dia membelanjakan kira-kira AS$10 juta (RM40 juta) untuk membeli rumah kepada bekas ketua eksekutif itu di London.

Ketika ditanya mengapa, Leissner menjelaskan dia membeli rumah itu kerana wanita itu sangat kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selepas 10 tahun untuk akhirnya berkahwin dengan model Kimora Lee Simmons pada 2013.

Tim Leissner (kiri sekali) dan Kimora Lee Simmons (dua dari kiri) bersama Najib Razak pada pelancaran Khazanah Americas Incorporated (KAI) di San Francisco, AS pada 22 Sept 2013.

“Dia memberitahu saya bahawa kami telah menghabiskan 10 tahun dalam hubungan dan jika saya tidak membelikan dia rumah, sebagai contoh, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skim 1MDB.

"Bukanlah saya mendedahkan semua butiran kepadanya tentang perkara itu tetapi saya ada menyebut kepadanya bahawa saya telah menerima wang daripada skim itu... Saya sangat takut akan perkara itu," kata Leissner.

Leissner dan Simmons mempunyai seorang anak pada 2015. Tidak pasti jika mereka masih bersama.

Leissner memberi keterangan terhadap bekas pegawai bawahannya Ng, yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah berhubung dengan urusan 1MDB.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS