Timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary berharap kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah membatalkan pengharaman buku Gay is OK! A Christian Perspective semalam.
Anggota parlimen PAS berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan ke peringkat lebih tinggi agar ia tidak menjadi perkara yang menggusarkan orang Islam.
“LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan buku tersebut tidak sepatutnya menjadi satu agenda untuk dinormalisasikan di negara kita… ia tidak sesuai di Malaysia,” dia dipetik sebagai berkata.
Bernama melaporkan dia berkata demikian kepada pemberita seleaps selepas melancarkan buku Manual Komuniti Hijrah (Lesbian dan Gay) di Putrajaya, hari ini
Penerbit dan penulis Gay is OK! A Christian Perspective semalam berjaya membatalkan perintah menteri dalam negeri yang mengharamkan buku itu pada 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman penerbit buku itu Chong Ton Sin dan penulisnya Ngeo Boon Lin.