Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Ulama PAS mahu pertukaran agama satu pihak dibenarkan
Diterbitkan:  Feb 23, 2022 3:38 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Dewan Ulama PAS Pusat mendesak pihak berkuasa agama di setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa dan bukan ibu dan bapa seperti yang ada di sesetengah negeri.

Dalam kenyataan media, sayap PAS itu gusar dengan perkembangan terkini perundangan negara yang berkaitan kedudukan Islam, Mahkamah Syariah dan aqidah umat Islam.

Ia susulan isu membabitkan tiga kanak-kanak yang dikatakan memeluk Islam secara sepihak, sebaliknya bukan dengan keizinan bersama kedua-dua ibu dan bapa mereka.

"Dewan Ulama PAS menggesa pindaan perlembagaan dalam jadual kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa melakukan judicial review berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya berkaitan pertukaran agama agar tiada lagi konflik seperti ini berlaku di masa hadapan.

"Dewan Ulama PAS juga menggesa agar pihak-pihak yang berkepentingan peribadi sama ada atas platform agama ataupun politik kepartian menghormati hak kanak-kanak tersebut memilih Islam sebagai agama anutan mereka tanpa membuat sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada kanak-kanak tersebut dengan melemparkan tuduhan negatif bahawa wujud pemaksaan ke atas mereka agar memeluk Islam sedangkan pengislaman mereka dibuat dengan kerelaan dan persetujuan bapa mereka," kata kenyataan itu.

Terdahulu kontroversi membabitkan anak kepada Loh Siew Hong itu hangat diperkatakan selepas ketiga mereka dikatakan memeluk Islam dengan hanya keizinan bapa mereka yang juga seorang mualaf.

Loh berjaya mendapatkan semula tiga anaknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpusnya terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seorang ustazah yang pernah menjaga kanak-kanak terbabit.

Tiga anak tersebut, sepasang kembar 14 tahun dan seorang lagi berusia 10 tahun, dikatakan diambil tanpa pengetahuan Loh pada 2019. Bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy - kini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah.

Sebagai rekod undang-undang membabitkan pengislaman kanak-kanak mempunyai perbezaan mengikut pewartaan negeri-negeri.

Di Terengganu contohnya, pengislaman kanak-kanak di bawah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam 2001 (Seksyen 101 (b)) menetapkan kanak-kanak di bawa umur 18 tahun perlu mendapat keizinan ibu dan bapa atau penjaga untuk memeluk agama Islam.

Pada 21 Feb lalu Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed sudah menyarankan agar perlembagaan negara dipinda.

Katanya, melalui pindaan itu kerajaan sekarang boleh memasukkan peruntukan bahawa sebarang undang-undang atau peraturan yang berlawanan dengan hukum Islam hendaklah dianggap terbatal

Dewan Ulama PAS turut mendesak pihak kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak-anak Loh yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad.

"Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam.

"Dewan Ulama PAS juga mendesak dan mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa mediasi agama untuk memastikan kebajikan anak yang dipelihara oleh ibu atau penjaga yang bukan Islam agar diberikan keutamaan (the paramount consideration is the welfare of the children) dari sudut pemakanan, pendidikan sah yang lebih utama akidah mereka sentiasa dipelihara," kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS