Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam Rosmah tutup kes dalam perbicaraan rasuah tenaga solar

Pasukan peguam bela Rosmah Mansor hari ini menutup kes dalam perbicaraan rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri itu berkaitan projek pembekalan tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Peguamnya - Akberdin Abdul Kader, Jagjit Singh, dan Azrul Z Stork - menggulung hujah semasa prosiding di mahkamah terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

Terdahulu hari ini, saksi pembelaan terakhir, Siti Azizah Sheikh Abod - yang pernah menjadi penyelaras di Bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) - menamatkan keterangannya selepas disoal balas oleh pihak pendakwaan serta pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan.

Hakim kemudian menetapkan 5 April untuk hujahan lisan pada akhir kes pembelaan.

“9 Mac ditetapkan untuk pihak pendakwaan memfailkan hujah bertulis, 31 Mac untuk pihak pembelaan memfailkan hujah bertulis, dan 5 April untuk hujahan lisan.

“25 saksi (23 daripada pihak pendakwaan, dua daripada pihak pembelaan termasuk Rosmah sendiri) memberi keterangan sepanjang 42 hari perbicaraan," kata Zaini.

Rosmah, yang merupakan isteri bekas perdana menteri Najib Razak, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan sebanyak RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah juga didakwa dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta dan pengelakan cukai yang belum didengar sepenuhnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS