Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Premesh Chandran lepas jawatan CEO Malaysiakini
Diterbitkan:  Feb 23, 2022 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini, Premesh Chandran akan melepaskan jawatan eksekutifnya pada penghujung Februari ini.

Selepas berkhidmat dengan Malaysiakini selama lebih 22 tahun, Premesh berkata sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada generasi baru untuk memimpin Malaysiakini.

“Kami mempunyai pasukan yang sangat berpengalaman dan berkebolehan, saya yakin mereka akan membawa Malaysiakini ke peringkat seterusnya," kata Premesh.

Premesh, 52, pada mulanya mengumumkan akan berundur pada penghujung 2019. Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan akibat wabak Covid-19 serta perubahan mendadak kerajaan yang berpunca daripada Langkah Sheraton.

“Meskipun berlaku pandemik, Malaysiakini telah mencapai prestasi yang baik dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Kami kini bebas hutang. Ia adalah masa yang baik untuk melakukan perubahan,” katanya.

Dengan keputusan Premesh meninggalkan organisasi itu, perubahan sedang dibuat bagi jawatan pengarah dalam Malaysiakini dan anak syarikatnya.

Ketua Pengarang, Steven Gan akan mengambil alih sebagai pengarah urusan Mkini Group Sdn Bhd dan menyelia kumpulan itu secara keseluruhan. Bagi syarikat penerbitan Malaysiakini - Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Kinitv Sdn Bhd - pengurus besar K Manohar akan menggantikan Premesh di peringkat lembaga pengarah.

Pengurus utama unit perniagaan Malaysiakini - Keahlian, Pengiklanan, Teknologi dan Kewangan - akan memikul tanggungjawab kepimpinan tambahan. Malaysiakini juga akan merekrut jawatan kanan lain.

Gan berkata pasukan Malaysiakini telah bersiap sedia untuk melakukan peralihan sejak sekian lama.

"Adalah menyedihkan apabila Prem meninggalkan organisasi ini tetapi kami memiliki pemimpin muda dan berkebolehan yang boleh mengambil alih," katanya.

“Prem dan saya, sebagai pengasas bersama, berhasrat untuk menyerahkan Malaysiakini kepada generasi akan datang apabila tiba masanya. Malaysiakini hari ini kukuh dan sihat dari segi kewangan, sudah tiba masanya orang muda memainkan peranan yang lebih menonjol dalam organisasi.

“Bulan lepas, kami melunaskan pinjaman bank berjuta-juta ringgit bagi bangunan Malaysiakini yang tujuh tahun lebih awal daripada jadual. Itulah peristiwa penting yang menarik dan kebanggaan besar bagi kami semua.

“Kami tidak akan melakukannya tanpa bantuan Prem dalam menerajui syarikat, dan juga mereka yang menyumbang kepada kempen Beli Bata kami lapan tahun lalu," katanya.

Premesh dan Gan sedang dalam proses menubuhkan entiti bukan berasaskan untung yang akan menjadi pemegang saham utama Malaysiakini. Ini akan membolehkan Malaysiakini kekal bebas walaupun pengasasnya tidak lagi terlibat dalam organisasi itu.

Malaysiakini digambarkan oleh pengasas bersama syarikat itu sebagai perusahaan sosial - perniagaan yang digerakkan dengan tujuan memberikan khidmat demi kebaikan bersama.

“Steven dan saya sentiasa percaya bahawa Malaysiakini harus berkhidmat demi kepentingan awam, memastikan ia bebas daripada kawalan politik, arahan pengiklanan, dan agenda pemilikan,” kata Premesh.

“Ia harus dijalankan secara profesional dan menguntungkan, dan berani memegang kuasa yang dipertanggungjawabkan. Inilah yang diharapkan oleh pembaca dan ahli kami daripada kami,” katanya.

Penghargaan yang mendalam

Dalam e-mel yang dihantar kepada kakitangan, Premesh menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap pasukan Malaysiakini.

“Selalunya tumpuan diberikan kepada saya dan Steven. Tetapi sebenarnya, setiap orang dalam Malaysiakini, dahulu dan sekarang, yang telah mencipta Malaysiakini yang kita tahu.

“Semua orang telah berkorban dan memberikan yang terbaik untuk membina sesuatu yang hebat bersama-sama. Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tulus kepada anda semua.

“Saya menyatakan penghargaan kepada semua yang sedang dan telah menguruskan Malaysiakini, yang telah bekerja dengan saya secara langsung dan banyak berbakti kepada Malaysiakini, sambil bersabar dengan kesilapan saya.

“K Manohar (pengurus besar), Lynn D'Cruz (ketua pegawai keahlian), Chia Ting Ting (ketua pegawai komersial) dan Aizu Akmal (ketua pegawai teknologi) telah menjadikan perniagaan dan teknologi Malaysiakini berfungsi, memastikan kami mempunyai dana untuk terus bertahan dan berkembang. Kita tidak akan menjadi seperti ini tanpa mereka.

“Steven telah menjadi regu pasangan saya sejak hari pertama. Beliau telah memberikan saya nasihat yang tulus dan memastikan Malaysiakini stabil dengan menjadikan kami berkembang daripada enam orang kepada 120 orang sekarang. Dia telah membina pasukan editorial yang hebat, dan mengetuai penerbitan lebih 500,000 berita.

"Kami menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin, perbincangan yang tidak terkira banyaknya mengenai berita. Dia bertaruh untuk menghasilkan Malaysiakini dengan saya, dan saya tidak dapat memikirkan pasangan yang lebih baik,” katanya.

Premesh turut mengucapkan penghargaan kepada pelabur dan modal teroka, Dana Pelaburan Pembangunan Media (MDIF), yang memegang 29 peratus saham Malaysiakini.

“MDIF melabur dalam Malaysiakini sangat awal. Mereka telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami, membawa kepakaran dan wawasan global kepada kerja kami. Saya tidak dapat bayangkan rakan kongsi yang lebih baik untuk bersama kami dalam perjalanan yang panjang dan mencabar ini," katanya.

Premesh juga menyeru pembaca Malaysiakini untuk terus menyokong portal berita berkenaan.

“Tanpa pembaca dan pelanggan kami, kami tidak akan berada di sini. Mereka telah menjadi tulang belakang kami, merekalah juara kami dan dari semasa ke semasa mereka tampil, menyokong kami, serta menggesa kami melakukan yang lebih baik. Mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kami,” katanya.

Malaysiakini akan menyiarkan wawancara dengan Premesh esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS