mk-logo
Berita
Pecahkan projek di hutan simpan: Bagaimana pemaju guna 'kelemahan peraturan'

Banjir dan kayu balak hanyut yang menyebabkan kerosakan besar di Pahang Disember lalu menimbulkan kebimbangan mengenai penebangan hutan di negeri itu akibat pembalakan dan pembukaan ladang hutan.

Kumpulan alam sekitar telah menyorot kesan buruk daripada ladang berkenaan kerana ia melibatkan kawasan hutan yang luas manakala strategi "memotong bersih" dikenali 'cuci mangkuk' mengakibatkan kemudaratan ekologi yang teruk.

Tidak seperti pembalakan terpilih di mana hanya kayu yang bernilai dipilih, penebangan 'cuci mangkuk' menumbangkan semua pokok.

Media alam sekitar Macaranga, menganggarkan antara 2007 dan 2019, Pahang membuka 75,748 hektar hutan untuk ladang, kedua selepas Kelantan.

Pun begitu, rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan tiada projek ladang hutan berskala besar (lebih 500 hektar) di Pahang sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, seorang aktivis alam sekitar berkata sesetengah pemaju menggunakan jalan keluar dalam peraturan dengan memecahkan projek utama kepada beberapa bahagian.

Ini, katanya untuk mengelakkan pemaju daripada menyiarkan pameran dan ulasan awam mengenai laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mereka.

Untuk mengesahkan ini, Malaysiakini meneliti projek ladang hutan bersaiz sederhana yang meliputi 100 hingga 500 hektar.

Difahamkan antara projek yang diluluskan JAS tahun lepas, ladang hutan mendahului senarai dengan 18 projek dan semuanya bersaiz sederhana.

Syarikat berkait Fajarbaru

Daripada 18 projek itu, tujuh daripadanya berkaitan dengan Fajarbaru Builder Group Berhad, firma tersenarai awam yang berteraskan sektor pembinaan tetapi kemudiannya beralih kepada pembalakan dan perladangan pada 2010.

Fajarbaru mengumpul RM37.4 juta melalui pengeluaran waran pada September tahun lepas yang mana kira-kira RM15 juta akan dilaburkan dalam "perkembangan perniagaan, pembalakan, perdagangan kayu dan perladangan."

Laporan tahunan 2021 firma itu mendedahkan cabang perladangannya ditubuhkan pada 2019 dan ia percaya penglibatan dalam perladangan durian akan meningkatkan dan mempelbagaikan hasil syarikat.

Pengerusi eksekutif Fajarbaru ialah bekas timbalan presiden MCA Chan Kong Choy.

Sebelum pelantikannya Disember lalu, Chan berkhidmat sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif.

Semasa memegang jawatan dalam politik, Chan, 66, memegang pelbagai portfolio kerajaan seperti menteri pengangkutan, timbalan menteri kewangan, timbalan menteri komunikasi dan timbalan menteri pelancongan.

Hutan seluas 4,000 padang bola ditebang

Rekod menunjukkan Fajarbaru membersihkan 2723.09 hektar tanah di Hutan Simpan Tekam dan Hutan Simpan Tekai Tembeling melalui anak syarikatnya atau syarikat milik pemegang saham dan kakitangannya.

Ini menyumbang 12 peratus dari keseluruhan kawasan ladang hutan Pahang untuk 2021. Menurut Jabatan Perhutanan Pahang, terdapat 22,987 hektar tanah ladang hutan pada tahun lepas.

Walaupun projek berkaitan Fajarbaru seluas 3,813 padang bola sepak, laporan EIA mereka tidak perlu didedahkan kepada umum.

Menurut "Perintah Kualiti Alam Sekeliling. (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015" keluasan kawasan projek ladang hutan itu akan menentukan kategori laporan EIA.

  • (1)Projek yang meliputi kawasan kurang dari 100 hektar (kira-kira 247 ekar) tidak perlu mengemukakan laporan EIA;

  • (2)Projek bersaiz sederhana yang meliputi kawasan antara 100 hingga 500 hektar (kira-kira 1,235 ekar) akan dikategorikan sebagai Jadual 1. Pemaju dikehendaki mengemukakan laporan EIA tetapi tidak perlu membuat "pameran awam" dan mengumpul "ulasan awam" maklum balas orang ramai;

  • (3)Projek berskala besar yang meliputi kawasan lebih dari 500 hektar akan disenaraikan sebagai Jadual 2. Pemaju dikehendaki mengemukakan dan menghebahkan laporan EIA dan mengumpul maklum balas orang ramai.

Lima ratus hektar merupakan ukuran ambang penting untuk memutuskan sama ada sesuatu projek akan terbuka kepada bantahan orang ramai atau tidak.

Penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini pemaju akan menggunakan dua taktik.

Katanya pemaju tidak memohon projek yang melibatkan lebih dari 500 hektar atau membahagikan dan memecahkan projek berskala besar kepada beberapa projek bersaiz sederhana, masing-masing meliputi kurang dari 500 hektar.

“Sesetengah pemaju akan membahagikannya kepada beberapa projek, laporan EIA akan dikemukakan oleh beberapa syarikat, tetapi sebenarnya pemegang lesen ialah orang yang sama.

"Mereka melakukan ini untuk mengelakkan laporan EIA daripada dihebahkan," katanya.

Berikutan itu, Meor berkata masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan sesuatu projek itu tidak tahu-menahu sehingga kerja-kerja pembersihan dimulakan.

Berdasarkan rekod awam yang dilihat Malaysiakini, Fajarbaru secara tidak langsung terlibat dalam beberapa projek ladang hutan di kawasan hutan simpan Jerantut - Hutan Tekam dan Tekai Tembeling.

Di kedua-dua hutan itu, projek perladangan Fajarbaru dibahagikan kepada projek yang lebih kecil dan laporan EIA mereka diserahkan secara berasingan oleh anak syarikat dan sekutunya.

Tiga laporan EIA berasingan untuk projek bersebelahan

Di hutan Tekam dekat bandar Jerantut, tiga pemaju menyerahkan tiga laporan EIA pada April lalu untuk mendapatkan kelulusan membangunkan projek ladang hutan.

Syarikat itu ialah Kerjaya Jutamas Sdn Bhd, Akokaya Sdn Bhd dan KJM Plantation Sdn Bhd. Projek mereka masing-masing meliputi keluasan 406.52 hektar, 435.80 hektar dan 419.90 hektar.

Projek-projek ini disenaraikan di bawah Jadual 1 kerana melibatkan luas kawasan kurang dari 500 hektar.

Memandangkan pemaju tidak perlu menghebahkan laporan EIA itu, Malaysiakini tidak dapat mendapatkan lokasi khusus projek tersebut.

Bagaimanapun, Malaysiakini dapat melihat sekilas projek ini melalui laporan EIA projek perladangan lain di hutan bersebelahan.

Disember lalu, sebuah lagi firma - Glowing Green Plantation Sdn Bhd - memohon untuk membangunkan projek ladang hutan di Jenderak dan peta yang dilampirkan dalam laporan EIAnya menyatakan dengan jelas lokasi tiga projek berkaitan Fajarbaru itu.

Menurut peta, ketiga-tiga projek itu meliputi kawasan seluas 1262.22 hektar (kira-kira 1,767 padang bola) dan terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Berkait rapat dengan pemimpin MCA

Menurut laporan tahunan Fajarbaru dan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ketiga-tiga firma itu berkait rapat dengan Fajarbaru.

Kerjaya Jutamas ialah anak syarikat Fajarbaru (20 peratus saham). Pemegang saham lain termasuk Lim Siew Mei (30 peratus saham), Chan Kong Choy, Pengarah Eksekutif kumpulan Fajarbaru Lau Kuan Kam dan Pengerusi MCA Pahang Hoh Khai Mun.

Bapa Siew Mei ialah taikun industri perkayuan Jerantut Lim Ah Chap dan adiknya bekas ahli majlis daerah Jerantut Natalie Lim Chong Ly.

Natalie ialah calon MCA/ BN bagi kerusi DUN Damak pada pilihan raya umum 2018. Beliau kini mempengerusikan Skuad Bantuan Krisis (CRSM) MCA.

Bagi pemaju kedua Akokaya Sdn Bhd, Siew Mei hanya memegang 0.001 peratus saham manakala selebihnya dikawal oleh ibunya Leong Swee Peng.

Bagi pemaju ketiga, KJM Plantation dimiliki oleh Ng Kok Wai, yang merupakan pembantu akhbar Chan semasa dia berkhidmat sebagai menteri pengangkutan.

Laporan Sin Chew Daily November lalu mendedahkan Kok Wai juga pengarah urusan kanan Smooth Accomplishment Sdn Bhd, sebuah lagi anak syarikat Fajarbaru.

Satu lagi kes bahagikan projek

Empat syarikat yang mempunyai kaitan rapat dengan Fajarbaru memohon untuk membangunkan ladang di hutan simpan berkenaan.

Pada 2 Mac 2021, KJM Plantation, bersama dua syarikat lain, Gelombang Sumber Sdn Bhd dan Peacock Plantation Sdn Bhd menyerahkan tiga laporan EIA Jadual 1 berhubung projek ladang hutan di Hutan Tekai Tembeling.

Kedua-dua KJM Plantation Sdn Bhd dan Gelombang Sumber Sdn Bhd dimiliki oleh Kok Wai manakala Peacock Plantation merupakan milik Charles Tan Ting Lih, pengarah kewangan Fajarbaru.

Sebulan kemudian, anak syarikat Fajarbaru - Kerjaya Jutamas Sdn Bhd - mengemukakan satu lagi laporan EIA untuk menjalankan aktiviti perladangan di hutan yang sama.

Projek-projek ini melibatkan keluasan 346.10 hektar (KJM Plantation), 295.56 hektar (Gelombang Sumber), 336.21 (Peacock Plantation) dan 483 hektar (Kerjaya Jutamas).

Jumlah tanah hutan simpan yang disasarkan untuk dibuka ialah 1,460.89 hektar, kira-kira seluas 2,046 padang bola.

Memandangkan projek-projek berkenaan telah dikemukakan secara berasingan dan dikategorikan sebagai Jadual 1, ia tidak perlu mendapatkan maklum balas orang ramai.

Seperti sebelum ini, Malaysiakini hanya melihat sekilas lokasi mereka melalui laporan EIA yang lain.

Pada Februari 2020, anak syarikat Lembaga Tabung Haji telah mengemukakan laporan EIA Jadual 2 untuk memulakan ladang kelapa sawit berhampiran Tekai Tembeling.

Peta yang dilampirkan dalam laporan itu menunjukkan projek ladang hutan bersebelahan lain, termasuk empat yang dikaitkan dengan Fajarbaru.

Menurut peta, empat projek itu terletak bersebelahan antara satu sama lain dan ini menimbulkan persoalan tentang keperluan untuk permohonan berasingan.

Firma ikrar akauntabiliti, keterbukaan

Bagi mengelakkan firma daripada mengeksploitasi ‘kelemahan’ ini, Meor mencadangkan supaya "Perintah Kualiti Alam Sekeliling. (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015" dipinda untuk memastikan semua projek ladang hutan menyerahkan dan menghebahkan laporan EIA mereka.

“Ini bagi memastikan semua projek ladang monokultur, tanpa mengira saiz, dikategorikan sebagai Jadual 2 EIA kerana ia akan memberi kesan kepada fungsi ekologi dan kepelbagaian biologi,” tambahnya.

Namun begitu, Fajarbaru telah menyatakan komitmennya terhadap standard tertinggi integriti, akauntabiliti dan keterbukaan dalam perniagaan dan operasinya serta berjanji untuk menjalankan urusannya secara beretika, bertanggungjawab dan telus.

Fajarbaru malah menyenaraikan "komuniti" sebagai salah satu misinya dan bertujuan untuk mewujudkan masa depan yang mampan bagi pihak berkepentingan dengan menjanjikan "untuk memelihara alam sekitar, bertanggungjawab, dan aktif dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi yang lebih baik."

Malaysiakini telah menghubungi Fajarbaru, firma berkaitannya dan JAS untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS