Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan menyeluruh kes kematian bayi didakwa kecuaian hospital
Diterbitkan:  Feb 22, 2022 12:17 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Siasatan menyeluruh dan terperinci kes kematian bayi berusia dua bulan Jumaat lalu yang didakwa akibat kecuaian ketika menerima rawatan akan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, berkata siasatan akan membabitkan semua pihak yang terlibat dalam rawatan bayi tersebut.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan ingin merujuk kepada hantaran yang tular di Facebook dengan menggunakan akaun bernama "Ola Ola" pada 19 Februari lalu.

"Pihak jabatan amat prihatin terhadap insiden yang berlaku dan merakamkan ucapan takziah kepada pihak keluarga.

"Pihak pengurusan hospital sudah menjalankan siasatan awal dan mendapati pesakit dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ Il) pada 5 Februari akibat cirit- birit melampau selama beberapa hari yang mengakibatkan pelbagai komplikasi.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memandang serius terhadap insiden ini dan akan melakukan siasatan yang lebih menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit," katanya dalam kenyataan, di Kota Bharu, hari ini.

Zaini Hussin


Terdahulu pihak HRPZ II dilaporkan mengadakan pertemuan dengan waris keluarga bayi, semalam.

Pengarah HRPZ II, Dr Selasawati Ghazali berkata pihaknya sudah mengadakan siasatan membabitkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab dalam merawat bayi itu.

Kes tersebut menjadi tular selepas satu video menerusi Facebook milik 'Ola Ola' yang mendakwa bayinya berusia dua bulan meninggal dunia akibat kecuaian doktor di HRPZ II ketika memberikan rawatan.

Dia mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain turut diberikan susu yang tamat tempoh dan ubat tidur tanpa keizinannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS