Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa k’jaan pastikan tiga anak Loh tidak murtad
Diterbitkan:  Feb 22, 2022 12:15 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Dewan Ulama PAS Pusat menggesa supaya kerajaan memberi keutamaan kepada kemashlahatan tiga anak kepada ibu tunggal Loh Siew Hong yang beragama Islam tidak diganggu pegangan akidah mereka dan tidak dipaksa untuk kembali murtad.

Bagi mencari penyelesaian terhadap kebimbangan tersebut, ia turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Mediasi Agama untuk memastikan kebajikan anak-anak yang dipelihara oleh ibu atau penjaga bukan Islam diberikan keutamaan dari aspek pemakanan dan pendidikan terutamanya berkaitan pemeliharaan akidah.

“Dewan Ulama PAS Pusat mendesak pihak kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak-anak Puan Loh yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad.

“Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Loh berjaya dalam cabaran undang-undang untuk membatalkan penahanan haram tiga anaknya yang telah memeluk Islam secara sepihak.

Bagaimanapun, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan bahawa anak-anak itu akan kembali ke agama asal mereka selepas dijaga oleh ibu mereka yang beragama Hindu.

Tiga beradik itu diculik daripada ibunya pada 2019 dan bekas suami Loh, Nagahswaran Muniandy - kini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah - dikatakan mengislamkan kanak-kanak tersebut tanpa pengetahuan Loh.

Untuk rekod, Loh mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada Dis tahun lalu.

Manakala sebelum ini, Loh dilaporkan memfailkan tindakan mahkamah berasingan bagi membatalkan tindakan memeluk Islam tiga anaknya.

Pada masa sama, Dewan Ulama PAS juga mendesak supaya pihak berkuasa agama di setiap negeri dengan kadar segera, meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa dan bukannya ibu dan bapa seperti termaktub di sesetengah negeri.

“Dewan Ulama PAS Pusat menggesa agar pihak-pihak yang berkepentingan peribadi sama ada atas platform agama ataupun politik kepartian menghormati hak kanak-kanak tersebut memilih Islam sebagai agama anutan mereka, tanpa membuat sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada kanak-kanak tersebut, dengan melemparkan tuduhan negatif bahawa wujud pemaksaan ke atas mereka agar memeluk Islam sedangkan pengislaman mereka dibuat dengan kerelaan dan persetujuan bapa kanak-kanak tersebut,” katanya.

“Maka Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak semua pihak agar menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan bidang kuasa negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal Islam,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS