Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kumpulan reformasi politik, Gerak Independent (GI) kehilangan salah seorang calon yang dinamakan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, beberapa hari selepas satu majlis diadakan untuk mengumumkan rancangan mereka.

Bekas wartawan, Charles CJ Chow, yang dinamakan sebagai calon bebas GI bagi kerusi parlimen Subang, mengumumkan semalam bahawa dia secara rasmi menarik diri daripada kumpulan itu.

“Sila ambil perhatian bahawa saya telah memaklumkan Gerak Independent bahawa saya tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada pergerakan itu.

“Berikutan itu, saya tidak akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Subang, Selangor,” kata Chow dalam satu kenyataan.

"Matlamat kita adalah sama kerana kita mahu memperbetulkan keadaan di negara kita, termasuk mempertingkatkan integriti Parlimen, tetapi kita berbeza cara untuk mencapai matlamat tersebut.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan saya di GI dalam usaha mereka," kata Chow.

Ketika dihubungi, Chow enggan mengulas lanjut mengenai sebab di sebalik tindakannya, kecuali menunjukkan terdapat perbezaan pendapat mengenai strategi tertentu oleh kumpulan itu.

Dia menegaskan bahawa dia tiada masalah peribadi dengan ahli GI yang lain dan mengatakan ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan.

Peguam hak asasi manusia, Siti Kasim pada Khamis lalu (17 Feb) mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas GI di kerusi parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

GI turut mengumumkan empat calon lain termasuk Chow, KJ John (untuk Petaling Jaya), penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju), dan peguam yang berpangkalan di Sabah Roland Cheng (Kota Kinabalu).

Ia juga sebelum ini mengumumkan sasaran untuk bertanding sehingga 10 kerusi Parlimen pada PRU15, kebanyakannya disandang oleh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS