mk-logo
Berita
Anak Loh: Kini tanggungjawab pihak berkuasa agama - Peguam
Diterbitkan:  Feb 21, 2022 9:22 PM
Dikemaskini: Feb 23, 2022 1:54 AM

Seorang peguam menjelaskan isu hak jagaan tiga anak kepada Loh Siew Hong yang berjaya dalam permohonan habeas corpus hari ini adalah berbeza dengan isu agama anak-anak berkenaan.

Kata Aidil Khalid, keputusan mahkamah yang memerintahkan anak-anak itu diberikan kepada ibu tunggal terbabit tidak menimbulkan sebarang isu memandangkan hak penjagaan memang di bawah wanita berkenaan, dan bukannya responden pertama, Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Dia yang bertindak mewakili Nazirah berkata, perintah yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, itu tidak bermaksud anak-anak terbabit harus keluar daripada Islam.

“Harus difahami bahawa isu agama anak-anak dengan hak jagaan adalah dua isu berasingan. Jangan dicampur-adukkan.

“Hanya sebab hak jagaan diberi kepada ibu, bukan bermaksud anak-anaknya harus automatik murtad.

"Bahkan dalam fatwa di Perlis pun sememangnya membenarkan ibu bukan Muslim diberi hak jagaan terhadap anak-anak Muslim,” katanya di Facebook.

Bersama hantaran itu Aidil menyertakan kenyataannya yang dibuat di luar mahkamah mengenai keputusan mahkamah agar tiga kanak-kanak berkenaan dipulangkan kepada Loh.

Semua mesti bersatu hati

Katanya mengenai isu agama anak-anak Loh, tidak ada arahan dibuat oleh mahkamah untuk menukarkan agama mereka kepada agama lain selain Islam.

“Jadi setakat hari ini, agama anak-anak itu sepertimana yang telah didaftarkan, kekallah seperti itu, melainkan ada perintah-perintah seterusnya selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Loh sudah mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada 31 Mac 2021, setelah sebelum itu mendapat perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada Loh.

Hari ini dia ini berjaya dalam cabaran undang-undangnya untuk membatalkan penahanan haram tiga anaknya yang telah memeluk Islam secara sepihak.

Tulis Aidil lagi, apa yang perlu diberikan tumpuan sekarang ialah agar majlis-majlis agama yang terlibat mendapat akses untuk memberikan panduan dan pendidikan agama kepada kanak-kanak berkenaan selagi mereka masih menginginkan berada dalam Islam.

“Syahadah anak-anaknya itu sah, mereka masih Islam, justeru tak boleh dibiarkan terkontang-kanting tanpa panduan dan tanggungjawab daripada majlis agama Islam. Ini yang utama.

"Dan dalam isu ini yang kita semua mesti bersatu hati,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari nii membenarkan permohonan habeas corpus Loh terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Nazirah yang juga seorang ustazah yang menjaga kanak-kanak terbabit.

Hakim juga mengarahkan anak-anak itu dibebaskan serta-merta kepada penjagaan dan kawalan Loh.

Mereka dikatakan diculik daripada Loh pada 2019 dan bekas pasangannya, Nagahswaran Muniandy - kini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah - dikatakan mengislamkan kanak-kanak tersebut tanpa pengetahuan Loh.

Usaha hubungkan ibu, anak

Loh dilaporkan memfailkan tindakan mahkamah berasingan bagi membatalkan tindakan memeluk Islam tiga anaknya.

Aidil menjelaskan, pembelaan Nazirah di mahkamah bukanlah untuk bertindak “kejam” bagi memutuskan hubungan di antara ibu dan anak hanya kerana mereka memeluk Islam.

Sebaliknya, kata peguam terbabit, ia hanya untuk menjelaskan keadaan dan menjawab pelbagai “fitnah jahat” dan tuduhan liar yang “langsung tidak berasas."

Antara dakwaan itu ialah mereka diculik, diislamkan tanpa kebenaran, dan sebagainya.

“Justeru kami jelaskan di mahkamah tadi, berdasarkan bukti-bukti afidavit, Ustazah Nazirah tidak pernah menahan atau mengawal anak-anak Loh secara salah, sebaliknya dia sekadar mengambil peranan membantu membiayai anak-anak tersebut supaya dapat bersekolah, mendapat makan pakai segalanya cukup, ketika ayahnya menghilang (di penjara) dan ibunya tak ketahuan di mana. Salahkah seorang ustazah membantu?

“Bahkan bukti-bukti menunjukkan Ustazah Nazirah yang berusaha untuk mencari untuk menghubungkan ibu dengan anak-anak tersebut. Sebab ustazah itu faham dan tahu bahawa hak ibu terhadap anak-anaknya tak boleh dinafikan.

“Kalau ustazah jahat dan nak menculik tak tentu fasal dan kemudian mengislamkan mereka senyap-senyap, kenapa pula ustazah hendak susah-susah mencari ibu anak-anak tersebut?

“Bahkan ibu anak-anak tersebut sendiri yang kemudian beretuju untuk meletakkan anak-anaknya di JKM sebelum ini, jadi tiada kena mengena dengan majlis agama pun,” jelas Aidil lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS