Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MN Pahang: Tetap pertahan tapi PAS kena bersedia - Rosli

Baru-baru ini kenyataan dibuat PAS bahawa mereka bersedia menawan kerusi DUN Inderapura - yang kini disandang wakil Umno - mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua parti.

Ia berlaku ketika hubungan PAS-Umno di pelbagai peringkat semakin menegang, dengan kebanyakan pemimpin kedua-dua parti saling membuat kenyataan pedas.

Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar - yang membuat kenyataan 'panas' tersebut memberikan penjelasan.

Kata Rosli apa yang disebutkannya pada 16 Feb lalu itu merujuk kepada pelbagai senario yang mungkin berlaku menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Rosli berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada persediaan jentera PAS sekiranya hubungan mereka dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) berakhir.

Pun begitu, kata ahli dewan undangan negeri (Adun) Tanjung Lumpur berkenaan, buat masa ini PAS Pahang mempertahankan MN selagi tidak ada keputusan rasmi daripada pemimpin Pusat.

"Kalau ditakdirkan kekal (MN) di Pahang, takkan pula kami nak lawan di kerusi yang Umno menang.

“Tapi, kita kena juga bercakap kalau tak berlaku (lagi kerjasama), takkanlah kita tak buat persediaan.

"Kalau tak berlaku (terbubar) MN, kita kena lawan Umnolah... takkan PAS nak bagi Umno saja bertanding. Itu mustahil, jadi PAS kena lihat dua tiga kemungkinan dalam hal ini,” katanya.

Tak layan kalau ketua bahagian

Pada 16 Feb lalu portal rasmi PAS, harakahdaily, melaporkan Rosli sebagai berkata, parti itu mampu mengulangi kemenangan mereka di DUN Inderapura seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Kata Rosli, DUN Inderapura - yang dahulunya dikenali sebagai Lepar - pernah dikuasai PAS dan tidak mustahil keputusan itu boleh berulang.

Untuk rekod kerusi Inderapura kini diwakili seorang pemimpin Umno Pahang, Shafik Fauzan Sharif.

Laporan harakahdaily itu mendapat reaksi balas kem Umno yang mengendalikan akaun Facebook Pahangku Media dengan kenyataan "dakwat muafakat belum kering, PAS Pahang sudah koyakkan kertas."

Kata Rosli hari ini, ada tiga senario yang sedang didepani PAS sekarang iaitu MN diteruskan, PAS bergerak sendirian dalam PRU ke-15 atau bersama-sama Bersatu dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama Rosli menegaskan semula pendirian PAS bahawa mereka beranggapan MN perlu menerima Bersatu.

"Bagi kami di Pahang, PAS akur apa saja arahan daripada pimpinan pusat dan setakat ini tidak ada lagi arahan supaya kami bubarkan MN,” katanya.

Sementara itu ditanya jika dia mendengar sebarang komen daripada pimpinan Umno Pahang susulan kenyataan dibuatnya itu, Rosli berkata, setakat ini belum ada, kecuali daripada pihak yang disifatkannya "suara luar".

Malah Rosli berkata, PAS hanya menganggap sebarang kenyataan Umno mestilah datang daripada pengerusi negeri.

"Kalau setakat ketua bahagian, PAS tak layan," katanya.

Tak boleh minta autonomi

Rosli juga menafikan dia ada menyebut PAS mahu bertanding di DUN Inderapura seperti yang dilaporkan portal terbabit.

“Bila keluar berita dalam (laman web) Harakah, MB (Wan Rosdy Wan Ismail) pun melompatlah.... dakwat belum keringlah, tapi dalam cerita (berita) itu tidak sebut pun kita (PAS) nak lawan (bertanding) di Inderapura,” katanya lagi.

Wan Rosdy Wan Ismail

Mengenai kenyataan akhbar bersama dikeluarkan PAS dan Umno Pahang pada April tahun lalu, Rosli memaklumkan ia bukanlah memorandum atau perjanjian yang memuktamadkan kerjasama kedua-dua parti terbabit.

“Kesepakatan di antara Umno dan PAS Pahang adalah susulan daripada piagam MN ditandatangani pada Sept 2019 di peringkat Pusat.

“Melalui persetujuan itu juga sudah dijelaskan bahawa tidak ada pertembungan di semua kerusi dimenangi dan ditandingi kedua-dua parti pada PRU ke-15.

“Kami tidak boleh meminta autonomi daripada pusat untuk menentukan hala tuju hubungan PAS dalam MN di Pahang dan rasanya Umno Pahang juga sama," katanya.

Dalam PRU ke-14 Umno-BN memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN Pahang, termasuk satu oleh MCA. PAS pula memenangi lapan kerusi iaitu Tanjung Lumpur, Beserah, Chenor, Luit, Jengka, Tahan, Panching dan Damak.

Baki sembilan lagi kerusi Dun Pahang dimenangi Adun Pakatan Harapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS