Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli peniagaan rugi RM140,000 diperdaya ‘ACP Datuk Fazley’

Seorang ahli perniagaan muda diperdaya sindiket Macau Scam membabitkan kerugian bernilai RM140,679 termasuk hampir RM100,000 wang daripada akaun bank ibunya.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 20-an pada 15 Februari lalu.

Menurutnya suspek menyamar sebagai pegawai TM Point dan mendakwa identiti pengadu digunakan untuk mendaftar talian yang digunakan dalam kes jenayah siber.

Mangsa kemudiannya disambungkan kepada dua orang lain yang menyamar pula sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dan inspektor.

"Suspek yang menyamar sebagai polis itu menyatakan mangsa turut terlibat dengan kes pengubahan wang haram melibatkan satu sindiket pelaburan yang diketuai oleh seorang individu yang mana mangsa dikatakan telah memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke akaun bank milik individu tersebut. 

"Mangsa yang menafikan penglibatannya telah dinasihatkan untuk meminta bantuan suspek berikutnya bernama ACP Dato Mohd Fazley yang berjanji akan membantu mangsa," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Shafien Mamat

Susulan itu Shafien berkata, mangsa diarahkan untuk menyerahkan maklumat perbankan internet - nama pengguna dan kata laluan serta nombor kad ATM dan nombor TAC akaun bank miliknya. 

Katanya, mangsa juga diarah menyerahkan maklumat sama melibatkan akaun bank ibunya atas alasan untuk mengesahkan ibunya tidak terlibat dengan kes pelaburan berkenaan dan juga pengubahan wang haram.

"Mangsa mendapati sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 telah dilakukan dari akaun-akaun bank miliknya dan ibunya tanpa pengetahuan termasuk wang hampir RM100,000  daripada akaun bank milik ibunya antara tempoh 11 hingga 15 Februari 2022. 

"Suspek mendakwa wang tersebut dipindah sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula.

"Mangsa berasa curiga apabila suspek menasihatkan pengadu membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan pengadu dan terus ke balai polis membuat laporan," jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

"Kegiatan penipuan jenayah telekomunikasi seperti Macau Scam telah mendapat liputan yang meluas di media massa dan juga di media sosial tetapi masih ada individu dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang tanpa membuat pertanyaan atau pengesahan dengan pihak yang sepatutnya, terpedaya menjadi mangsa yang seterusnya. 

"PDRM Kelantan ingin mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan sindiket ini yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar pegawai bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan mahkamah," kata Shafien.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS