Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ibu tunggal Loh Siew Hong berjaya dalam cabaran undang-undangnya untuk membatalkan penahanan haram tiga anaknya yang telah memeluk Islam secara sepihak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh wanita itu terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang ustazah yang menjaga kanak-kanak itu pada satu ketika.

“Ketiga-tiga kanak-kanak itu akan dibebaskan serta-merta kepada penjagaan dan kawalan tunggal pemohon (Loh),” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Loh sedang berusaha untuk bersatu semula dengan tiga anaknya - dua kembar berusia 14 dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun - di mahkamah. Tiga beradik itu berada di bilik saksi bersebelahan Mahkamah Tinggi manakala ibunya berada di mahkamah terbuka.

Ketika ditemui media selepas prosiding hari ini, peguam Shamsher Singh Thind - yang merupakan sebahagian daripada pasukan peguam Loh - mengesahkan bahawa Loh telah bersatu semula dengan tiga anaknya.

Peguam itu berkata Loh sedang menandatangani beberapa dokumen sebelum dia dan tiga anaknya meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Loh berhujah bahawa tiga anaknya telah diculik daripadanya ketika dia sedang memulihkan diri daripada kecederaan yang disebabkan oleh bekas pasangannya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.

Nagahswaran, yang kini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah, secara sepihak mengislamkan tiga beranak itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Dia telah mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada Disember tahun lalu dan bertemu semula secara ringkas dengan mereka pada 14 Feb di Perlis.

Kanak-kanak itu kemudian diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara menunggu perbicaraan permohonan habeas corpus yang dijadualkan hari ini.

Loh juga sebelum ini dilaporkan memfailkan tindakan mahkamah berasingan bagi membatalkan tindakan memeluk Islam tiga anaknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS