Menteri Luar Saifuddin Abdullah sekali lagi menegaskan bahawa Wisma Putra tidak akan membuat sebarang pengumuman berkaitan nama calon yang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara.
"Wisma Putra hanya akan sebutkan nama-nama selepas menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong dan selagi tiada (watikah), kita tidak akan menyebut nama," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Bola Keranjang Pantai 3x3 di Beserah di Kuantan, hari ini.
Saifuddin berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah media baru-baru ini yang menyebut nama Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz dikatakan akan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia.
Sebelum ini, Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota telah menasihatkan semua pihak supaya tidak memanjangkan nama atau isu berkaitan lantikan duta kerana ia tidak membantu dari segi hubungan baik Malaysia dengan negara luar.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berpandangan cadangan Malaysia supaya Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn sebagai Duta Khas Pengerusi Asean ke Myanmmar untuk bertemu dengan beberapa pihak berkepentingan pada lawatannya ke Myanmar pada Mac ini, diterima baik.
Saifuddin berpandangan pertemuan dengan pihak yang dicadangkan itu bertujuan bagi memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima pihak terlibat memandangkan semua pihak berkepentingan tersebut mempunyai peranan tersendiri di Myanmar.
"Dia (Prak Sokhonn) tidak menjawab secara rasmi tetapi saya dapat merasakan cadangan itu diterima baik dan dia juga seorang menteri luar yang berpengalaman dan sudah tentu akan secara upaya bertemu dengan semua," katanya.
Pada Pemukiman Menteri Luar Asean di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini, Saifuddin mencadangkan supaya Duta Khas Pengerusi Asean ke Myanmar untuk bertemu Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) yang merupakan platform dialog dan penyelarasan dasar terdiri daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), ahli parlimen dipilih, parti politik, kumpulan perwakilan negeri sementara, masyarakat sivil dan bukan-kumpulan bantahan ganas dan kumpulan bersenjata.
Saifuddin semasa itu juga mencadangkan supaya duta khas tersebut melihat keputusan mesyuarat Perhimpunan Rakyat Myanmar pada 27 hingga 29 Jan lepas.
-Bernama