Ibu tunggal, Loh Siew Hong berhasrat mencabar penukaran agama sepihak tiga anaknya menerusi semakan kehakiman, menurut peguamnya Shamsher Singh Thind.
Walau apa pun pandangan orang awam, Shamsher berkata bahawa tiga kanak-kanak itu - sepasang kembar 14 tahun dan lelaki 10 tahun - ditukar agama kepada Islam tanpa keizinan Loh, walaupun dia memiliki hak penjagaan penuh.
“Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama kanak-kanak itu akan ditentukan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu, bukan atas kehendak anak atau pihak ketiga yang lain,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Katanya lagi, jika penukaran agama mereka tidak dibatalkan, ia akan menimbulkan lebih banyak masalah di masa depan, seperti melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jika mereka memutuskan untuk berkahwin dengan orang bukan Islam apabila dewasa kelak.
Dia berkata surat tuntutan telah dihantar pada Rabu lalu kepada pendaftar mualaf di tiga negeri untuk memastikan status penukaran agama kanak-kanak itu.
Pihak tersebut diberi masa seminggu untuk memberi jawapan balas dan Shamsher berkata pihaknya belum menerima apa-apa setakat ini.
Shamser berkata, pihaknya perlu menghantar surat itu kepada tiga pihak memandangkan tidak jelas berhubung di mana penukaran agama berlaku.
Ini kerana mereka di bawah jagaan seorang wanita di Pulau Pinang dan polis kemudian berkata mereka di Perlis.
Sebagai langkah tambahan, dia berkata mereka juga menghantar surat kepada pendaftar mualaf di Kedah kerana bekas suami Loh pernah tinggal di Sungai Petani.
“Ya, saya dengar Mufti Perlis kata kanak-kanak itu sudah memeluk Islam di negerinya. Tetapi, saya mahu pengesahan bertulis. Sehingga itu, ia kekal sebagai khabar angin,” katanya lagi.
Dia berkata jika pendaftar mualaf mengesahkan jika kanak-kanak itu tiada dalam senarai mereka, semakan kehakiman akan dibatalkan.
Jika tidak, katanya lagi, semakan akan difailkan dan pihaknya akan meminta perintah mahkamah agar sijil penukaran agama kanak-kanak itu, jika memang ada, dibatalkan.
Sementara itu, permohonan habeas corpus Loh akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Menurutnya, permohonan itu bukan saja akan meneliti penahanan salah oleh badan penguat kuasa tetapi jika individu persendirian.
“Ini bukan kes hak penjagaan. Tiga kanak-kanak itu dibawa pergi dan polis hampir tidak memberi kerjasama apabila Mahkamah Tinggi mengarahkan mereka mendapatkan semula kanak-kanak itu dan menyerahkan mereka kepada ibu mereka (yang mempunyai hak penjagaan).
“Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, habeas corpus akan membenarkan kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah dan diserahkan kepada anak guam saya, jika permohonan kami dibenarkan,” katanya lagi seperti dipetik.
‘Benarkan Loh bersama anaknya’
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata Loh perlu dibenarkan untuk bersama-sama anaknya.
Namun, dia berkata penukaran agama mereka tidak patut dibatalkan kerana ia “tidak praktikal”, boleh “menyulitkan keadaan” dan untuk kebaikan semua pihak.
Dia mengulas kenyataan Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy agar penukaran agama mereka dibatalkan.
“Tindakan sedemikian juga boleh ‘mengeruhkan’ kejernihan hubungan antara masyarakat Hindu dan Islam di negara ini
“Daripada perspektif agama Islam, keislaman seseorang tidak terbatal menerusi keputusan mahkamah selagi dia sendiri tidak mengaku keluar daripada agama Islam dengan kerelaannya tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Namun, dia berkata Loh perlu dibenarkan untuk berjumpa anak-anaknya, termasuk membawa mereka pulang ke rumah secara berkala dengan pemantauan polis.
Ini kerana Islam tidak melarang ahli keluarga yang berbeza agama untuk tinggal bersama-sama, katanya lagi.
Wan Salim malah mencadangkan agar ketiga-tiga anak Loh dihantar ke sekolah berasrama, di mana keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.
“Pada pandangan saya, cadangan seperti yang dikemukakan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang terjadi.
“Dengan cara ini, tiada pihak yang teraniaya, di samping dapat mengelak sensitiviti Umat Islam yang mungkin menganggap pihak tertentu ingin memaksa penganut Islam supaya murtad,” katanya lagi seperti dipetik.
Terdahulu, Loh berkata anaknya dilarikan ketika dia merawat dirinya selepas dicederakan bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.
Nagahswaran, yang kini menjalani hukuman penjara akibat kesalahan berkaitan dadah, dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa pengetahuan dan kebenarannya.