Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bagi laporan kewangan pada Muhyiddin sebab dia pengerusi MPN'
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 12:12 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil menjelaskan laporan yang diberikan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin adalah atas kapasitinya sebagai pengerusi Majis Pemulihan Negara (MPN).

Menurut Tengku Zafrul, ia adalah sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat MPN, seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan rakan-rakan kabinet tidak kira daripada mana-mana parti.

"Sebagai pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu perdana menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid-19.

"Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

"Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Pemuda Umno Parit Sulong membuat laporan polis menggesa Muhyiddin disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi selepas pengerusi PN itu berjanji untuk mendedahkan butiran laporan yang diterimanya daripada Tengku Zafrul.

Muhyiddin sebelum ini antara lain mendakwa situasi kewangan Malaysia “tidak semolek” digambarkan kerajaan.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata umum mengetahui keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid-19.

Namun jelasnya, fokus utama kerajaan sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.

"Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama: JaminKerja dan SemarakNiaga dalam Bajet 2022.

"Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat. Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

"Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekali gus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS