Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui dia malu untuk "meratib" nama seteru politiknya Najib Razak yang terpalit tuduhan penyelewengan dana negara.
Namun, kata Dr Mahathir dia berbuat demikian bagi memastikan Najib tidak kembali berkuasa.
"Sebenarnya, saya amat malu meratib nama Najib, dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
"Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptorat dan kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.
"Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib," kata Dr Mahathir dalam surat keduanya kepada pengundi Johor.
Pada 15 Feb lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengulangi amaran bekas anak didiknya Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya negeri (PRN) Johor bertujuan untuk mengukuhkan lagi "kluster mahkamah" dalam Umno.
Ini selepas Naib Presiden Umno Khaled Nordin dilihat menjauhkan kumpulan berkenaan - yang mendapat julukan sedemikian kerana mempunyai kes rasuah di mahkamah - daripada Umno Johor.
Kata Dr Mahathir, 'kluster mahkamah' itu akan diperkukuhkan walaupun tidak bertanding.
"Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.
"Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan BN akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat," kata Mahathir.
Membalas kritikan Mahathir, Najib menyifatkan veteran politik itu telah sihat selepas keluar Institut Jantung Negara (IJN) apabila terus meratib namanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata pada awalnya dia menyokong kepimpinan Najib kerana yakin keupayaannya dan juga terhutang budi kepada Allahyarham Abdul Razak Hussein yang mengangkat karier politiknya.
"Malangnya Najib bukan seperti bapanya, Tun Razak seorang nasionalis pejuang bangsa yang bermaruah. Najib pula mencuri wang negara dengan bantuan Jho Low.
"Saya akan terus meratib nama Najib ataupun sesiapa saja yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat," katanya lagi.