Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Parit Sulong gesa Muhyiddin disiasat bawah Akta Rahsia Rasmi
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 10:22 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Pemuda Umno Parit Sulong membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mendakwa situasi kewangan Malaysia “tidak semolek” digambarkan kerajaan.

Ketuanya, Fared Mohd Khaled, berkata laporan polis dibuat susulan dakwaan Muhyiddin bahawa dia memperoleh maklumat mengenai kewangan negara daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

"Bahawa maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Presiden Bersatu tersebut bukanlah salah seorang daripada menteri kabinet atau perdana menteri Malaysia yang masih berkuat kuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara

"Tindakan dan kata-kata presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan polis itu telah dibuat oleh Pemuda Umno Parit, semalam.

Semalam, Muhyiddin mendakwa negara menghadapi masalah kewangan yang lebih besar daripada yang dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan pimpinan Umno.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berkata akan mendedahkan butirannya pada masa yang sesuai.

Muhyiddin juga mendakwa pentadbiran BN yang bergerak 'macam biasa' tidak akan dapat menjamin masa depan cemerlang ketika negara seperti Vietnam dan Indonesia sedang meninggalkan Malaysia dalam pembangunan ekonomi.

"Semalam (17 Feb) saya minta laporan untuk disampaikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul... Satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita.

"Berapa lama lagi kita bertahan? Berapa lama hasil negara dikutip tiap-tiap tahun cukup bayar gaji dan pembangunan negara? Berapa wang tabung pencen yang banyak itu?

"Saya cakap setakat itu saja. Saya faham situasi negara tak semolek digambarkan," kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Fared berkata pihaknya mendesak satu siasatan dimulakan terhadap Muhyiddin di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972

"Pemuda Umno bahagian Parit Sulong mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.

"Atau kemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain, yang mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada negara Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS