Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gaji minimum RM1,500: K'jaan laksana sesi libat urus dengan majikan

Kerajaan sedang melaksanakan sesi libat urus dengan majikan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi membolehkan ia dilaksanakan secara holistik, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata bagi tujuan itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengadakan perbincangan dengan persatuan terlibat termasuk bersama Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan majikan.

“Kita sedang buat engagement dengan semua majikan untuk gaji minimum ini, sebab ada syarikat yang mampu, ada syarikat terlalu kecil, tidak mampu. Kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan hentikan pekerja dia… nanti angka pengangguran bertambah.

“Kita tidak lindungi majikan, kepentingan kita adalah pekerja…kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata KSM akan membentangkan hasil perbincangan dengan persatuan dan majikan kepada Kabinet sebelum ia diluluskan.

Perdana menteri berkata kerajaan prihatin tentang kos sara hidup hari ini, namun pada masa sama tidak mahu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta PKS mikro menghadapi kesukaran berhubung pelaksanaan gaji minimum itu.

“Tujuan kita untuk membantu pekerja, tapi akhirnya mereka dibuang kerja kerana majikan tak mampu nak bayar gaji mereka...jadi kita akan tengok pertimbangan keseluruhan, kepentingan pekerja dan dalam masa sama kita nak dengar pandangan daripada majikan,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS