Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Keadilan Islam untuk orang Islam… dan bukan Islam

Malaysia adalah sebuah negara bangsa yang didirikan atas konsep masyarakat majmuk. Malaysia bukanlah sebuah negara Islam, atau bukan sebuah negara Islam seperti di mana-mana negara Islam di Timur Tengah yang sangat kuat garis konservatif, fundamentalis dan patriarkinya. Ini tidak hairan kerana bangsa yang mendominasi Timur Tengah adalah bangsa Arab, dan kebanyakan mereka adalah beragama Islam. Walaupun agama Kristian dan Yahudi lebih awal bertapak di Tanah Arab, tetapi hari ini, tidak ada sebuah pun negara Arab Yahudi atau negara Arab Kristian. Yang ada hanyalah negara Arab Islam dan Parsi Islam. Tidak ada selain itu buat masa ini.

Sementara itu di Malaysia, meskipun Islam telah lama bertapak di Malaysia, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa Hindu dan Buddha telah lebih lama sampai sebelum Islam. Melayu sebelum kedatangan Islam beragama Hindu dan Buddha. Disebabkan tidak ada hukuman murtad dalam kedua agama tersebut –sepengetahuan penulis– apabila datangnya Islam, dan raja-raja Melayu memeluk Islam, diikuti rakyatnya, maka Islam kemudian diterima. Dan ketika Kristian datang ke Tanah Melayu ketika itu, Kristian tidak diterima dengan meluas seperti Islam, kerana (1) Kristian datang bersama gerombolan penjajah kolonial (dari Portugis, Belanda, Inggeris) dan (2) Islam tidak membenarkan tukar agama seperti Hindu dan Buddha.

Bayangkan jika Hindu dan Buddha tidak membenarkan tukar agama? Dan memperuntukkan hukuman keras kepada sesiapa di kalangan Hindu dan Buddha yang mahu menukar agama? Bolehkah Islam tersebar?

Terbaru kita dikejutkan dengan kes Loh Siew Hong, yang kedua anak perempuannya diislamkan tanpa pengetahuan beliau. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. 

Bagaimana jika hal yang sama berlaku kepada orang Islam? Adakah orang Melayu Islam tidak akan mengamuk dan berarak ke jalan raya apabila anak perempuan mereka bawah umur, dikristiankan, dihindukan, dibuddhakan atau diateiskan, tanpa persetujuan dan pengetahuan kedua orang tua mereka? 

Dan apa yang berlaku kepada Loh Siew Hong ini bukanlah hal yang pertama melibatkan krisis antara agama di Malaysia. Kes Maria Hertogh atau Bertha Hertogh yang kemudian diislamkan dengan nama Nadra Ma’arof, Nadra Adabi atau lebih dikenali sebagai Natrah, juga adalah suatu kes kontroversial yang mencetuskan rusuhan pada tahun 1950 di Singapura (yang ketika itu masih lagi dalam Tanah Melayu). Kes yang melibatkan Hartina Kamaruddin juga tidak kurang sedih dan tragisnya. Tetapi Hartina Kamaruddin yang menukar agama dan namanya kepada Nivashiny Rajeswaran, ketika itu telah berumur 22 tahun. Aisyah Bukhari ketika hendak menukar agama kepada Kristian, kerana jatuh cinta pada seorang pemuda Cina Kristian, berumur 26 tahun. Bagaimana yang berumur bawah daripada itu?

Kita marah apabila orang bukan Islam, baik Hindu, Buddha, Kristian termasuk ateis yang mengempen kepercayaan dan fahaman mereka kepada orang Islam. Sedangkan kita boleh pula sewenang-wenangnya mengempen kepercayaan dan fahaman kita setiap masa kepada orang bukan Islam? Adakah ini keadilan yang dianjurkan oleh Islam?

Kita meraikan jika ada orang bukan Islam mahu masuk ke dalam Islam dan kita menghebahkan hal ini ke seluruh pelusuk alam semesta. Tetapi kita yang sama akan berasa marah dan kecewa dan akan mengamuk jika ada orang Islam mahu keluar Islam dan masuk ke agama dan fahaman lain. Adakah hanya orang Islam sahaja yang ada ibu dan bapa dan kaum keluarga. Adakah orang bukan Islam itu tiada ibu dan bapa dan kaum keluarga yang hati mereka juga perlu dijaga? Adakah orang bukan Islam itu tiada hati dan perasaan? 

Agama seharusnya jadi urusan peribadi

Bagaimanapun, seseorang yang cukup umur (18 tahun ke atas) seharusnya dibebaskan memilih apa sahaja kepercayaan mahupun ketidakpercayaan yang diyakininya. Kita menjadi hairan dan aneh dengan sikap agamawan di Malaysia yang sangat barbarik apabila individu yang telah cukup umur, seperti Lina Joy yang mahu keluar Islam, dan dihalang. Sementara anak-anak Loh Siew Yong yang masih di bawah umur, dibenarkan untuk tukar agama. Adakah ini keadilan dan kewarasan dalam Islam?

Jika agama itu dipeluk dengan kesedaran diri dan sepenuh hati, ia adalah lebih murni. Kerana itu agama harusnya menjadi urusan peribadi. 

Jika suatu hari nanti, anak-anak Loh Siew Yong ketika berumur 18 tahun, dan tetap mahu memeluk Islam, kita harus raikan keputusan ini. Kerana agama atau fahaman atau kepercayaan juga ketidakpercayaan haruslah diterima ketika umurnya telah cukup, ketika dia telah habis sekolah, bukan di dalam tanggungan keluarga, dan dalam keadaan yang telah matang. 

Ini bukanlah suatu tulisan yang anti-Islam. Sebaliknya ke arah membawa pandangan Islam yang lebih objektif dan kepada keadilan. Kerana keadilan yang sebenar-benarnya, bukan mesti memihak kepada Islam dan orang Islam. Saidina Ali, Khalifah Islam yang keempat dalam era Khulafa ar-Rasyidin, pernah hilang sebuah baju besinya. Kemudian beliau terlihat seorang bukan Islam yang memegang sebuah baju besi yang mirip seperti baju besinya, dan ingin menjual di pasar. Saidina Ali kemudian membawa bukan Islam itu pergi ke pengadilan. Disebabkan tidak ada saksi selain anak-anaknya bahawa baju besi itu adalah baju besinya, maka baju besi itu diserahkan kepada lelaki bukan Islam tersebut. Lelaki bukan Islam itu akhirnya mengaku bahawa baju besi itu milik Saidina Ali. Dan lelaki bukan Islam tersebut akhirnya masuk Islam. Saidina Ali meskipun menjadi Khalifah ketika itu, dan Islam menjadi agama yang memerintah, beliau tetap tunduk pada prinsip-prinsip keadilan. Bahawa keadilan itu tidak semestinya hanya untuk orang Islam dan memihak hanya untuk Islam.

Jika tidak cukup peristiwa Saidina Ali ini, ketika Nabi Muhammad dalam Perjanjian Hudaibiyah, orang-orang kafir Quraish meminta Nabi Muhammad memulangkan orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. Syarat ini dilihat tidak munasabah oleh sesetengah Sahabat seperti Umar. Tetapi Nabi Muhammad tetap bersetuju walaupun hal itu pada zahirnya dilihat tidak menguntungkan Islam. Tetapi kerana mahu mengikut perjanjian, Nabi Muhammad mengikut perjanjian tersebut. Dan akhirnya disebabkan Perjanjian Hudaibiyah itulah Nabi Muhammad dapat menunaikan haji di Mekah pada tahun berikutnya tanpa apa-apa gangguan dan ancaman, dan pada tahun seterusnya dapat membuka Kota Mekah. 

Kes M Indira Gandhi yang tiga anaknya diislamkan dan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pertukaran agama mereka tidak sah dan terbatal harus dijadikan rujukan dan pedoman semua pihak. Pertukaran agama, kata Hakim Zainun Ali, perlu mendapat kebenaran kedua-dua ibu bapa sebelum sijil perakuan memeluk islam dikeluarkan oleh pendaftar mualaf.

Dr Maza yang sudah jadi mufti dua kali di Perlis, dan pernah sampai ke Oxford, sepatutnya lebih arif tentang hal ini. 


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS