Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: Ceramah dibenar tapi terhad 100 hadirin
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 10:40 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

PRN JOHOR | Ceramah dan kempen bersemuka lain akan dibenarkan pada pilihan raya negeri Johor akan datang, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini.

Ini menandakan kali pertama ceramah politik sedemikian dibenarkan sejak pilihan raya Sabah 2020 membawa kepada lonjakan kes Covid-19, selain pengecualian yang dibuat semasa pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas untuk kawasan yang mempunyai akses internet yang lemah.

Bagaimanapun, SOP menetapkan ceramah hanya boleh diadakan di pejabat parti politik dan bilik gerakan rasmi mereka dan kehadiran dihadkan kepada hanya 100 orang termasuk penganjur dan penceramah.

Antara SOP lain, mereka juga mesti sudah lengkap vaksin, mengekalkan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter, dan memakai pelitup muka.

Ceramah hanya dibenarkan berlangsung sehingga dua jam dan tidak lewat dari jam 10 malam serta tiada hiburan dibenarkan.

Mengadakan ceramah di kawasan awam atau terbuka juga dilarang sama sekali.

Ini berbeza dengan ceramah sebelum era pandemik yang kadangkala boleh menarik kehadiran ribuan orang ramai dan berlarutan sehingga tengah malam, dengan pentas sementara di kawasan terbuka.

Pakar kesihatan berpendapat kawasan lapang mempunyai risiko penularan Covid-19 yang lebih rendah disebabkan pengudaraan yang lebih baik berbanding ruang dalaman.

Sementara itu, SOP kempen PRN Johor juga membenarkan kempen dan kunjungan dari rumah ke rumah dilakukan, tetapi kempen dihadkan kepada kumpulan tidak lebih daripada lima orang dan tidak dibenarkan memasuki rumah ketika merayu undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS