Paling Popular
Terkini

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff memaklumkan bahawa akaun Telegramnya telah digodam.

Katanya, sejak seminggu lalu, akaun miliknya itu tidak dapat diakses dan digunakan penggodam untuk menyamar bagi menghantar pesanan kepada kenalannya sambil meminta wang berjumlah ribuan ringgit daripada mereka.

Lebih malang lagi, kata Agus, tiga orang rakannya yang terpedaya telah memasukkan wang RM3,000 setiap seorang ke akaun penggodam berkenaan pada tiga hari lalu.

“Saya tidak lagi mengawal akaun Telegram saya sekarang. [...] Pening saya. Takkanlah saya nak minta duit begitu?

“Tapi tiga orang kawan saya, kerana menghargai persahabatan, apabila dengar saya susah, mereka terus masukkan duit dahulu, kemudian baru mereka telefon bagitahu dan tanya: 'Dah selamat ke? Dah cukup ke?'

“Saya kata cukup apa? Rupanya mereka dah masukkan duit, mereka tunjuk resit,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Agus, selepas berjaya memperdayakan tiga orang rakannya itu, penggodam terbabit nampaknya semakin galak dengan menyebar luas pesanan Telegram meminta wang kepada lebih ramai rakannya pada hari ini.

Pesanan Telegram yang dilihat Malaysiakini itu berbunyi: “Assalamualaikum. Nak minta tolong boleh ke. Nak pinjam duit RM3,000 buat transfer boleh ke ada perlu sikit. Akaun dah limit hari ini. Boleh tolong transfer sekarang”.

Menurut Agus, selepas akaun Telegram digodam pada 11 Feb lalu, terdapat rakan-rakannya yang menerima pesanan tersebut, membuatkan dia memuat naik peringatan di Facebooknya pada 14 Feb meminta mereka mengabaikan pesanan seumpama itu.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan alamat protokol internet (IP) menunjukkan penipu itu berasal dari Indonesia.

“Terdapat tiga kawan saya yang terlepas membuat bayaran kepada scammer ini. Saya terharu dengan sikap kawan-kawan yang prihatin dan terlalu baik untuk segera membantu saya.

“Saya rasa bersalah. Mohon maaf atas kesulitan ini. Saya akan uruskan semuanya, insya-Allah. Saya harap kawan-kawan lain berhati-hati dalam berurusan dengan scammer ini,” katanya di ruangan komen.

Agus juga memaklumkan yang dia telah membuat laporan polis berkenaan hal itu.

“Saya ingatkan kawan-kawan supaya berhati-hati dengan hoax yang sebegini. Ini satu yang memalukan dan telah ada beberapa kawan yang juga mendapat bala yang sama (menjadi mangsa penipuan),” katanya lagi.

Dua hari lalu, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan yang akaun Telegram dan WhatsAppnya digodam, dengan penipu yang menyamar dirinya meminta wang sebanyak RM5,000 daripada kenalannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS