Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan Adun positif dadah diserah pada pengarah pendakwaan negeri
Diterbitkan:  Feb 18, 2022 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Polis Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (Adun) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing Adun itu diserahkan pada 3 Feb lepas.

"Setakat ini, kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudahpun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS